Carian
Micron Memperlihatkan Memori DDR5 Sebesar 256GB Untuk Kegunaan Pusat Data
March 25, 2024 Nazrin

Di acara NVIDIA GTC yang berlangsung pada minggu lepas, jenama pembuat memori terkemuka Micron telah memperlihatkan modul memori terbaru mereka, iaitu memori DDR5-8800 menggunakan MCRDIMM (Multiplexer Combined Ranks DIMM) yang boleh digunakan didalam mesin pelayan di pusat data.

Apa yang menarik mengenai memori ini ialah saiznya. Ia tampil dengan ketinggian dua kali ganda berbanding dengan memori biasa, yang mana ia merumahkan sehingga 80 cip DRAM 32Gb di kedua-dua belah papan litar memori ini untuk memuatkan memori sebanyak 256GB ini dan memakan kuasa sebanyak 20W.

Walaupun rekaan memori ini memperlihatkannya hadir dalam satu modul, cara ia berfungsi ialah secara dua memori yang digerakkan secara selari. Ini membolehkan data untuk diakses dengan lebih pantas, dan mempercepatkan juga kadar penghantaran data.

Micron berkata walaupun memori ini diperlihatkan dalam bentuk yang besar, mereka mempunyai pelan untuk memperkenalkan memori MCRDIMM ini dalam bentuk modul memori biasa supaya ia boleh digunakan didalam mesin pelayan bersaiz 1U. Dalam pada itu, memori ini dilaporkan akan dimanfaatkan didalam mesin pelayan generasi baru, seperti yang akan menggunakan cip pemprosesan Intel Granite Rapids dan sebagainya yang dilihat boleh menyokong dari 3TB ke 6TB memori tanpa masalah.

Memori ini juga sudahpun dihantarkan kepada syarikat-syarikat pusat data tertentu untuk diuji keberkesanannya didalam industri sebelum ia dijual secara rasmi kelak.

Komen