Carian
Realme 12 5G Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM 1099
March 25, 2024 Rihhadatul Aisy

Pelancaran hari ini menyaksikan realme 12 5G yang secara rasminya diperkenalkan di Malaysia. Model telefon pintar terbaru daripada realme ini adalah kemas kini untuk realme 11 5G yang dilancarkan Ogos tahun lalu tetapi pada harga yang lebih mampu milik.

Untuk spesifikasi, realme 12 5G hadir dengan paparan bersaiz 6.72” beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz bersama tahap kecerahan puncak yang boleh mencapai sehingga 950 nits. Ini dipadankan dengan MediaTek Dimensity 6100+, memori 8GB + 8GB Dynamic RAM dan storan sehingga 256GB, terdapat satu lagi varian dengan pilihan memori yang lebih besar dengan storan 512GB dan bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan 45W SuperVOOC.

Konfigurasi kamera dengan sensor 108MP untuk lensa sudut lebar, 2MP untuk kamera potret bersama ciri 3x zum dan kamera swafoto 8MP. Keunikan model ini ialah ciri baharu Dynamic Button yang terbina pada sisi kiri peranti yang membolehkan beberapa ciri diakses dengan pantas. Misalnya, ciri menghidupkan dan mematikan mod senyap, mod penerbangan, kamera dan pelbagai lagi.

Spesifikasi lain ialah kemampuan kalis percikan air IP54, sistem operasi realme UI 5.0 berasaskan Android 14, bicu audio 3.5mm dan speaker stereo.

Realme 12 5G kini tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Woodland Green dan Twilight Purple serta ditawarkan pada harga RM 1099 (8GB + 256GB) dan RM 1299 (8GB + 512GB). Bagi pembelian awal bermula 26 Mac sehingga 30 April, pembeli akan menerima hadiah percuma berupa Techlife Wireless Earbuds dan satu tahun waranti lanjutan yang bernilai RM 399.

Komen