Carian
Huawei Band 9 Boleh Didapati Di Malaysia Pada RM219
March 25, 2024 Amy Maizuraa

Majlis pelancaran hari ini turut memperlihat Huawei Band 9 diumumkan secara rasmi di Malaysia. Ia merupakan seutas penjejak kesihatan dengan sebilangan fungsi berguna yang bantu pengguna kekal aktif. Malahan turut menyediakan kepada pengguna produk yang memadai bagi mengurus kesihatan.

Huawei Band 9 masih menekankan aspek keselesaan yang berpanjangan. Ia menggunakan tali jam daripada bahan mesra kulit yang menjadikannya selesa dipakai sepanjang hari. Dengan berat hanya 14 gram dan tebal 8.99mm pula mampu meningkatkan tahap keselesaan tadi dengan lebih baik tanpa gangguan.

Huawei Band 9 dilengkapi skrin AMOLED berwarna sebesar 1.47″ dengan kemampuan kalis air 5ATM. Sensor kesihatan disediakan merangkumi pemantauan jantung, pola waktu tidur, tekanan serta oksigen dalam darah.

Ia ditambah baik dengan teknologi Huawei TrueSleep 4.0 dan Huawei TruSeen 5.5 untuk penjejakan dengan data lebih terperinci. Kemudian diikuti juga lebih 100 mod sukan dan sokongan pengesanan automatik untuk empat latihan utama sebagai pelengkap.

Bateri digunakan pula boleh beroperasi hingga 14 hari dan tambatan pula boleh dibuat melalui bluetooth 5.3 yang serasi dengan kedua-dua peranti Android serta iOS. Bagi yang berminat, Huawei Band 9 boleh didapati di Malaysia pada RM219 seutas.

Komen