Sejak Apple Pay dilancarkan di Malaysia, ia telah menjadi kaedah pembayaran utama saya tidak kira di mana saya berada. Jika boleh Paywave saya akan sentuh iPhone pada terminal pembayaran. Apple Pay juga selamat kerana setiap pembayaran memerlukan pengesahan identiti. Walaupun Google Wallet telah berada di Malaysia, ia tidak menyokong banyak kad dan bank seperti Apple dan paling yang saya tidak suka adalah membayar dengan Google Wallet tidak memerlukan sebarang pengesahan identiti.

Bermakna jika anda pinjamkan telefon ke rakan, dia boleh terus buka Google Wallet dan melakukan pembayaran. Dalam kemas kini terbaru, tetapan pengesahan akhirnya ditambah. Anda kini boleh mengesahkan identiti dengan PIN atau cap jari yang telah ditetapkan pada peranti Android. Perlu diingatkan yang tetapan ini hanyalah untuk pembayaran pengangkutan awam.

Bermakna walaupun tetapan ini boleh diakses di Malaysia, Google Wallet tidak menyokong mana-mana kad pra-bayar pengangkutan awam tempatan. Tetapi jika anda menggunakannya di negara lain, Google Wallet akan mencari kad berkenaan terlebih dahulu. Jika tiada, kad kredit atau debit akan digunakan dan ketika inilah pengesahan identiti ini perlu dilakukan.
Pada hemat saya agak aneh kenapa ciri ini terhad kepada pengangkutan awam sahaja dan tidak boleh diberikan kepada pembayaran biasa. Jika Apple Pay boleh dan Samsung Pay boleh, apa alasan Google Wallet. Adakah anda masih menggunakan Google Wallet walaupun tiada pengesahan identiti diperlukan?