Google Chrome khusus untuk komputer Windows on Arm akan akhirnya dilancarkan minggu ini bagi membolehkannya dijalankan secara natif buat pertama kalinya. Sungguhpun Windows on Arm telah lama dilancarkan, selama ini Google Chrome beroperasi menggunakan emulator x64.

Ini dilihat sebagai persediaan awal sebelum pelbagai PC yang akan dilancarkan dengan cip Snapdragon X Elite pada H2 2024. Cip berasaskan Arm ini amat dinantikan sejak ia diumumkan di acara Snapdragon Summit pada Oktober lalu. Seperti cip Intel Core Ultra, X Elite dilengkapi NPU bagi membolehkan komputer yang menggunakannya menjadi sebuah AI PC.
Microsoft ingin menjadikan 2024 tahun AI untuk sistem operasi Windows. Pelbagai PC dengan kemampuan AI Copilot mempunyai butang khas untuk menyeru AI ini serat berkemampuan menjalan model AI secara terus pada mesin tanpa memerlukan sambungan kepada internet.