Adobe Firefly kini dipertingkatkan dengan ciri yang akan membolehkan AI menjana imej dengan hasilnya lebih tepat berbanding sekarang. Antara isu menjana imej menggunakan AI ialah hasil yang sering berubah atau tidak selari dengan jenama yang ingin diiklankan. Ciri-ciri baharu ini menyasarkan syarikat yang ingin menjana imej yang tidak mempunyai kesilapan yang boleh mendatangkan kesipuan.

Adobe Firefly Custom Models membolehkan pelanggan memuat naik aset sendiri untuk melatih model. Hasilnya apabila AI menjana imej, ianya akan lebih mirip kepada imej dan bahan kempen pengiklanan yang pernah digunakan sebelum ini. Ciri Custom Models ini ditawarkan menerusi sebuah lagi perkhidmatan baharu Adobe GenStudio.

Menerusi GenStudio sesebuah organisasi boleh merangka pelan, menghasilkan karya, menguruskan aset, dan pelbagai lagi keperluan yang boleh digunakan dalam perkhidmatan Adone Experience Cloud serta Adobe Creative Cloud.