Salah satu ciri terbaru yang diperlihatkan pada sistem operasi Microsoft Windows 11 ialah sistem AI CoPilot yang dibangunkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan GPT oleh OpenAI. Pada penghujung tahun lepas, ia telah diperlihatkan bahawa Microsoft akan meminta untuk jenama-jenama pembuat komputer riba untuk memperkenalkan butang Microsoft CoPilot khusus untuk membolehkan pengguna mengakses ciri tersebut dengan lebih mudah.

Di acara Lenovo Innovate ’24, Lenovo mengumukan bahawa kesemua komputer riba mereka yang menggunakan cip pemprosesan Intel Meteor Lake (dari Intel Core Ultra 5 ke Core Ultra 9) akan tampil dengan kekunci tersebut, termasuklah pada siri komputer riba Lenovo Yoga dan juga Lenovo Legion yang diperkenalkan pada hari ini.

Secara ringkasnya kekunci ini akan menggantikan kekunci Winkey di bahagian kiri papan kekunci dimana ia akan membuka menu CoPilot, menggantikan pengaktifan Start Menu. Pihak Microsoft berkata bahawa ini akan membantu pengguna lebih mudah mengakses ciri tersebut berbanding dengan penggunaan pintasan kekunci yang memerlukan mereka untuk menekan lebih daripada satu butang.

Ia dijangka bahawa perkara ini akan diikuti juga oleh jenama-jenama pembuat komputer riba lain yang menggunakan cip pemprosesan Intel Meteor Lake dan juga sistem operasi Microsoft Windows 11 yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini.