Carian
Microsoft Dan Intel Berkongsi Spesifikasi Untuk AI PC
March 28, 2024 Effi Saharudin

Tahun ini anda akan mendengar terma “AI PC” digunakan dengan setiap pelancaran PC baharu. Ini kerana AI PC adalah di dalam kategori yang berbeza jika dibandingkan dengan sebuah PC biasa. Pada waktu ini hanya beberapa pengeluar seperti HP, Microsoft dan Lenovo telah mula menawarkan AI PC. Tetapi ramai yang masih belum benar-benar mengetahui apakah sebenarnya perbezaan antara AI PC dan PC.

Microsoft dan Intel akhirnya telah mengeluarkan dokumen apakah yang perlu disertakan pada sebuah komputer baharu untuk ia dikelaskan sebagai sebuah AI PC. Komponen paling penting ialah penggunaan CPU, NPU dan GPU terbina. Kerana dokumen dikeluarkan oleh Intel, cip yang perlu digunakan ialah dari siri Intel Core Ultra. AMD dan Qualcomm turut mempunyai beberapa cip dengan NPU maka ia juga boleh digunapakai.

AI PC juga perlu mempunyai butang Copilot terbina bagi menyeru ciri AI dengan lebih mudah. Maka oleh sebab itu ia juga perlu hadir dengan ciri Copilot yang pada ketika ini hanya diberikan pada sistem operasi Windows 11 dan akan diberikan kepada Windows 10 kelak.

Spesifikasi untuk AI PC akan berubah mengikut peredaran zaman dan juga keperluan. Menurut laporan Tom’s Hardware, di masa hadapan Copilot akan dijalankan terus pada AI PC. Pada waktu tersebut AI PC dengan memori lebih besar dan pemproses dengan kuasa memproses sehingga 40 TOPS akan menjadi keperluan.

Komen