Carian
Lenovo Legion 9i Kini Di Pasaran Malaysia Dengan Tanda Harga Mencecah RM19,000
March 28, 2024 Nazrin

Lenovo telah memperlihatkan komputer riba gaming paling berkuasa mereka setakat ini, iaitu Lenovo Legion 9i disamping beberapa model baru yang lain di acara Lenovo Innovate ’24 di Bangkok, Thailand semalam.

Pihak Lenovo Malaysia mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini akan tiba di pasaran tempatan “tidak lama lagi”, dan hari ini, Lenovo Legion 9i telah hadir dengan spesifikasi dan tanda harga untuk pasaran Malaysia.

Lenovo Legion 9i tampil dengan paparan skrin MiniLED PureSight bersaiz 16 inci dengan resolusi 3200×2000 dan kadar segar semula 165Hz dan nilai kecerahan 1200 nit dengan sokongan DisplayHDR 1000 dan NVIDIA G-SYNC.

Untuk pasaran Malaysia, komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX dengan pilihan memori DDR5 sebanyak 32GB ataupun 64GB dan juga pilihan storan SSD 1TB ataupun 2TB bergantung kepada keperluan dan kemampuan anda.

Dari segi kad grafik pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 ataupun NVIDIA GeForce RTX 4080 untuk olahan grafik dengan resolusi, tetapan dan juga kadar segar semula yang sangat tinggi.

Untuk menyejukkan komputer riba ini, Lenovo memuatkan Legion 9i dengan sistem penyejukan Legion ColdFront Liquid, iaitu sebuah sistem penyejukan cecair yang dibangunkan khusus untuk komputer riba ini bersama-sama dengan Cooler Master. Penyejuk ini dilihat bertanggungjawab untuk memastikan bahawa komputer riba ini dengan TDP 230W beroperasi pada kadar optimum sepanjang masa.

Dari segi I/O dan pelbagai sokongan lain pula, ia hadir dengan sokongan untuk palam Thunderbolt 4, USB 3.2 Type-A, HDMI 2.1 dan juga pembaca kad SD. Untuk sambungan nirwayar, komputer riba ini juga hadir dengan sokongan WiFi7 untuk sambungan internet nirwayar pantas.

Satu keunikan yang hadir pada Lenovo Legion 9i ini juga ialah ia tampil dengan penutup paparan yang diperbuat daripada beberapa lapisan gentian karbon yang memberikan komputer riba ini rupa yang agresif. Papan kekunci Legion TrueStrike juga tampil dengan kebolehan untuk mengubahsuai penutup dan suis kekunci tanpa perlu mencabut bahagian tersebut.

Laman web Lenovo Malaysia memperlihatkan tanda harga permulaan untuk Lenovo Legion 9i ini pada harga RM15,219 untuk spesifikasi 32GB RAM, 1TB SSD dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080. Untuk spesifikasi paling berkuasa pula dengan 64GB RAM, 2TB SSD dan kad grafik NVIDAI GeForce RTX 4090, komputer riba ini ditawarkan pada harga RM19,082.

Menariknya, Lenovo Malaysia juga dilihat menawarkan diskaun yang agak besar untuk komputer riba ini, dimana ia tampil dengan tanda harga jualan sekitar RM15,000 sahaja buat masa ini. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai komputer riba ini, anda boleh melayari laman web Lenovo Legion 9 di Lenovo Malaysia.

Komen