Samsung Kini Menawarkan Galaxy AI Untuk Galaxy S23, Tab S9, Z Flip5 Dan Z Fold5
Aman
Samsung pada awal tahun ini telah memperkenalkan penawaran kecerdasan buatan secara terbina pada Galaxy S24, sekaligus menawarkan sejumlah kemudahan dalam melaksanakan tugasan daripada penyuntingan teks, gambar, selain kemudahan untuk terjemahan panggilan dan beberapa yang lain.

Kini, selain hanya pengguna Galaxy S24, Samsung telah mula menawarkan Galaxy AI untuk beberapa peranti yang lain. Melalui kemaskini OneUI 6.1 yang mula ditawarkan secara berperingkat bermula hari ini, pengguna peranti Galaxy S23, Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold5 turut boleh menikmati ciri ini. Kemaskini ini juga diperkenalkan secara berperingkat untuk pengguna tablet Galaxy Tab S9.
Dengan penawaran ini, pengguna boleh menggunakan sejumlah ciri-ciri menarik, termasuk Circle to Search yang memudahkan anda melakukan carian dari mana-mana aplikasi atau skrin dengan mudah, sokongan Live Translate untuk terjemahan ketika panggilan suara, sokongan Chat Assist yang memudahkan terjemahan dan mengubah gaya penulisan pada aplikasi permesejan, dan juga ciri Generative Edit untuk penyuntingan gambar.

Kemaskini OneUI 6.1 ini ditawarkan secara berperingkat kepada pengguna peranti Samsung terlibat. Bagi anda yang menggunakan peranti Galaxy S23, Galaxy Tab S9, Galaxy Z Flip5, dan Galaxy Z Fold5, boleh menyemak kemaskini pada peranti anda, dan naik-taraf ke OneUI 6.1.