Carian
Penyelidik Memindahkan Data Pada Kelajuan 301 TB/s Menggunakan Seutas Gentian Optik
March 29, 2024 Effi Saharudin

Disember tahun lalu rekod dunia kelajuan pemindahan data terpantas berjaya dicatatkan dengan ia mencecah 22.9 Petabit/s. Ini adalah 47,216,494 kali ganda lebih pantas berbanding kelajuan purata internet di Malaysia. Untuk mencapai tahap pemindahan data yang tinggi ini, beberapa utas gentian optik diperlukan. Penyelidik dari Aston University kini telah berjaya mencatatkan kelajuan pemindahan data tertinggi menggunakan seutas gentian optik.

Kelajuan 301 TB/s  (301,000,000 Mbps) dicapai dengan menggunakan jalur gelombang yang wujud dalam kabel gentian optik yang sebelum ini tidak digunakan untuk penghantaran data. Biasanya hanya jalur C dan L digunakan tetapi dalam eksperimen yang dilakukan, jalur E dan S digunakan sekaligus membolehkan rekod dicipta. Secara teorinya kelengkapan gentian fiber optik semasa boleh digunakan untuk meningkatkan kelajuan pemindahan data di masa hadapan.

Aston University bekerjasama dengan Nokia Bell Labs di Amerika, dan National Institute of Information and Communications Technology (NICT) Jepun untuk membangunkan teknologi baharu ini. NICT ialah pemegang rekod dunia pemindahan data 22.0 Petabit/s tetapi menggunakan kabel yang menganduni 38 utas gentian optik.

Komen