Carian
Kamera Nircermin Terkecil Dunia Hanya Sebesar GoPro
March 29, 2024 Effi Saharudin

Micro Mirrorless Yashica – I’m Back ialah kamera nircermin terkecil pernah dihasilkan setakat ini. Dari segi saiz ia sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih kecil berbanding kamera nircermin biasa dan tubuhnya hampir sama besar dengan kamera aksi seperti GoPro.

Ia dilengkapi sensor 12 MP Sony IMX117 CMOS 1/2.33″ dengan kemampuan rakaman video sehingga 4K 24p selama 30 minit. Di bahagian belakang ia dilengkapi skrin LCD 2″ yang boleh dipusingkan ke depan untuk memudahkan swavideo. Sementara itu bateri pula adalah sebesar 1350 mAh dengan pengecasan USB-C

Walaupun kecil, ia hadir dengan tiga lensa boleh ditukar 30-mm, 50-mm dan 150-mm. Sokongan untuk lensa kamera keluaran syarikat lain dalam perancangan tetapi belum diberikan ketika ini.

Cagak untuk mikrofon dan lampu diletakkan pada bahagian atas. Kad yang disokong ialah microSD tetapi data boleh dipindahkan menggunakan WiFi. Projek Micro Mirrorless Yashica kini mengumpul dana menerusi laman biayasama Kickstarter dengan ia boleh dibeli pada harga bermula $199 (~RM942).

Komen