Carian
Tecno Pova 6 Pro 5G Dijual Di Malaysia Pada RM999
March 29, 2024 Amy Maizuraa

Semakan menerusi media sosial rasmi menunjukkan Tecno kini berkongsi harga jualan rasmi untuk Pova 6 Pro 5G di Malaysia. Anda yang berminat boleh mendapatkannya pada RM999 (12/256GB) bermula 2 April akan datang. Ketersedian adalah menerusi pengedar rasmi Tecno di Shopee, Lazada dan TikTok.

Tecno Pova 6 Pro dilancarkan dengan spesifikasi kelas pertengahan. Salah satu yang paling menonjol pada peranti sudah tentulah pada sistem lampu LED Dynamic-Light Effect yang terdiri dengan 210 lampu LED bersama 9 mod. Ia boleh dikatakan hampir sama dengan sistem glyph pada peranti Nothing.

Ia juga dilengkapi skrin AMOLED FHD+ sebesar 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan pula dengan cip MediaTek Dimensity 6080, memori 12GB RAM dan storan 256GB untuk tunjang utama. Diikuti juga bateri sebesar 6000mAH yang menyokong pengecasan pantas 70W.

Turut melengkapi peranti ialah dwi-kamera utama 108MP + 2MP (potrait) dan swafoto sebesar 32MP. Lain-lain spesifikasi termasuk kalis air IP53, pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, sambungan bluetooth 5.3 dan menjalankan Android 14.

Komen