Cari @ Amanz

Samsung Galaxy M55 5G telah dilancarkan secara rasmi di Brazil. Telefon ini mempunyai beberapa perubahan dalam aspek spesifikasi berbanding Galaxy A55 5G yang diumumkan baru-baru ini. Antaranya seperti cip pemrosesan Snapdragon 7 Gen 1, pengecasan 45W, kamera swafoto 50MP dan tiada penarafan kalis air dinyatakan.

Dari aspek rekaan Samsung Galaxy M55 5G mempunyai tubuh dengan sisi yang membulat. Ia diikuti dengan tiga kamera di belakang dengan sebuah LED Flash disediakan bersama. Panel hadapan pula sejenis rata dengan lubang kecil dibahagian tengah.

Untuk spesifikasi, skrin adalah sejenis Super AMOLED FHD+ sebesar 6.7″ dengan kadar segar semula 120Hz. Kemudian, cip Snapdragon 7 Gen 1 digunakan dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB yang juga boleh dikembangkan dengan kad microSD hingga 1TB. Bateri 5,000mAh disertakan boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan pantas 45W.

Selain itu, sistem kamera digunakan terdiri dengan 50MP (utama) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro) untuk utama dan swafoto sebesar 50MP. Peranti juga menjalankan pelancar baharu One UI 6.1 berasaskan Android 14. Dalam masa sama diberi kemaskini sekuriti lebih baik melalui sokongan Samsung Knox Vault yang boleh melindungi data daripada pelbagai serangan siber.

Peranti dijual di Brazil pada 3,199 Brazilian Real (~RM3,013) dengan pilihan warna Dark Blue dan Green. Masih tiada butiran mengenai ketersediaannya di Malaysia namun generasi sebelum iaitu Galaxy M54 5G sedia ditawarkan sebelum ini dengan harga RM2,099 untuk sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd