Kali terakhir Honor membawakan peranti jenis tablet ke pasaran adalah pada tahun lalu dengan membawakan HONOR Pad X9. Setelah agak lama, Honor kembali pada hujung Februari tahun ini dengan menawarkan HONOR Pad 9 yang merupakan sebuah tablet kelas pertengahan yang cukup cemerlang untuk berfungsi sebagai peranti alternatif bagi kegunaan harian dengan harga yang mampu milik.
SPESIFIKASI
HONOR Pad 9 | |
Skrin | 12.1″ TFT LCD, 2560 x 1600, 120Hz Stylus |
Pemproses | Snapdragon 6 Gen 1 (4 nm) |
Cip | 4×2.2 GHz Cortex-A78 4×1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 710 |
RAM | 8 GB RAM |
Muatan Dalaman | 256 GB |
Kamera Utama | 13MP (utama) 4K 30fps , 1080p 30fps |
Kamera Depan | 8MP 1080p 30fps |
Bateri | 8300 mAh Pengecasan berwayar 35W |
SIM/Telefoni | WiFi |
Audio | Speaker Stereo (8 Speaker) |
Sistem Imbasan | Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM 1499 (8/256 GB, WiFi) |
SKRIN
Saiz skrin yang dimiliki tablet ini adalah sebesar 12.1″ TFT LCD yang menyokong kadar segar semula 120Hz yang menjadikan pengalaman penggunaan masih saja lancar tanpa sebarang isu lengah masa yang keterlaluan. Walaupun skrinnya adalah daripada keluarga LCD, paparan skrin yang ditunjukkan masih saja terang dengan paparan warna yang cantik. Apa yang boleh saya katakan, skrinnya adalah di antara skrin dengan panel LCD yang tidak mengecewakan untuk digunakan khususnya bagi menonton kandungan video.

Honor juga mengatakan bahawa skrin peranti ini adalah bebas kerlipan dan perkara berkenaan dapat saya akui. Ciri sedemikian adalah cukup berguna di mana ia berfungsi menghilangkan masalah keletihan mata khususnya ketika menggunakannya dalam tempoh masa yang lama.
REKAAN
Ketika tablet ini diserahkan kepada saya untuk diuji, perkara pertama yang menarik perhatian saya ketika itu ialah tentang saiz dan juga sisi nipisnya. HONOR Pad 9 memiliki binaan yang pada hemat saya tidak terlalu berat dan tidak pula terlalu ringan untuk sebuah tablet dengan saiz skrin bersaiz 12.1″. Demikian itu berat yang dimiliki oleh peranti ini adalah masuk akal dan persediaan paparan skrinnya juga cukup besar. Bezel yang terbina pada skrinnya juga adalah memadai dengan ia tidak terlalu tebal dan sekadar cukup untuk menempatkan ibu jari ketika ingin menggunakannya.

Sisi kanan peranti menempatkan dua butang yang terdiri daripada butang laras audio dan juga butang kuasa serta terdapat juga slot untuk SIM kad. Lubang untuk pegecasan USB-C pula diletakkan di bahagian bawah dengan barisan lubang pembesar suara. Tidak lupa untuk saya nyatakan disini bahawa tablet ini tidak memiliki pengimbas cap jari sebaliknya masih memiliki ciri pengimbas wajah dan juga penetapan kod kata laluan untuk tujuan keselamatan dan privasi.

Bahagian belakang tubuh HONOR Pad 9 ini pula menempatkan sebuah lensa kamera berbentuk bulat. Bingkai bulatan kamera berkenaan adalah sedikit timbul menjadikan kedudukan tablet akan sedikit goyah apabila diletakkan di atas permukaan yang rata. Tubuhnya diperbuat daripada aluminium dengan sisi yang rata dan dibina dengan rekaan sisi yang rata. Tiada isu ketika menggunakan meskipun dalam keadaan menegak mahupun mendatar.

Tablet ini turut hadir dengan persediaan dua pilihan warna daripada Honor iaitu ia didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Space Grey dan Cyan Lake. Secara keseluruhan, rekaan tablet ini adalah cukup baik malah terlihat cukup premium dan kukuh. Tiada ralat dari segi rekaannya dan saya cukup berpuas hati sepanjang tempoh ujian dilakukan.
STYLUS
Terdapat juga sokongan stylus iaitu HONOR Choice Pencil dengan rekaan batang pen yang selesa ketika digunakan. Terdapat satu butang untuk tujuan sambungan bluetooth padanya. Pada masa-masa tertentu saya menggunakan pen untuk membuat lakaran pada skrin dan tiada sebarang isu sakit atau lenguh tangan dirasai.

Sedikit mengecewakan adalah apabila stylus ini tidak boleh disimpan di bahagian tepi atau belakang tubuh peranti kerana tiada magnet yang terbina. Jadi sepanjang penggunaan saya perlu sentiasa peka dimana saya menyimpannya agar tidak hilang.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN
Beralih kepada aspek penggunaan dan perisian dimana setelah beberapa hari saya menggunakan tablet ini sebagai peranti kedua dalam menjalankan kerja-kerja ringkas harian, saya dapati prestasinya adalah cukup baik. Menggunakannya untuk menulis artikel, mendengar muzik, menonton filem dan menjalankan beberapa aplikasi langsung tiada masalah.
Sistem operasi yang digunakan ialah MagicOS 7.2 berasakan kepada Android 13 yang membolehkan saya memuat turun semua aplikasi yang dimahukan tanpa isu dan memaparkan antara muka yang kemas dan ringkas. Honor juga tidak menyertakan banyak aplikasi gendut dan sebarang aplikasi yang tidak dimahukan boleh saja di-nyah pasang.

Terdapat juga ciri Multi-Window yang membolehkan tiga aplikasi dijalankan secara serentak. Melancarkan ketiga-tiga aplikasi juga adalah mudah dengan hanya menerusi aksi leret yang ringkas.

Peranti ini turut disokong oleh fungsi papan kekunci bluetooth dan kerangka yang berfungsi sebagai penutup dan juga pendiri kepada peranti. Papan kekunci yang dipasang mengubahnya menjadi seakan sebuah komputer riba mini. Saya beberapa kali menggunakan papan kekuncinya untuk menaip beberapa teks ringkas dan membetulkan artikel.
Apa yang boleh saya katakan adalah papan kekunci yang dipasangkan pada peranti ini adalah sangat selesa untuk digunakan dengan setiap butang berfungsi dengan baik dan sedap ditekan. Papan kekunci ini boleh dicas melalui slot USB-C dan mampu bertahan beberapa hari dengan sekali pengecasan. Terdapat juga bahagian magnetik yang terbina padanya yang membolehkan tablet dapat berdiri pada kedudukan yang kukuh.

Walau bagaimanapun, hanya pembeli terawal sahaja yang bakal menerima papan kekunci pintar Bluetooth dan Honor Choice Pencil bergantung kepada stok yang masih ada. Bagi mereka yang tidak berkesempatan maka kedua-dua aksesori ini perlu dibeli secara berasingan.
PENANDA ARAS DAN PRESTASI
HONOR Pad 9 menggunakan cip pemproses Snapdragon 6 Gen 1 dan ia turut menyokong rangkaian WiFi. Memorinya pula adalah sebesar 8GB RAM storan 256GB dan tiada slot kad mikro SD yang disediakan untuk storan tambahan.
Memainkan permua pada peranti terasa sedikit kekok kerana persediaan skrinnya yang terlalu besar. Ini mungkin kerana biasanya saya hanya memainkan permua pada telefon pintar. Walau bagaimanapun, tiada masalah lengah masa yang menyebabkan saya kecewa dengan prestasinya. Permua dapat dijalankan dengan baik menggunakan kadar resolusi yang sederhana tetapi dengan kadar resolusi paling tinggi saya dapati terdapat sedikit perbezaan dari segi kelancaran.

Geekbench 6
- HONOR Pad 9 – 937/2720
- Samsung Galaxy Tab S9 FE+ – 990/2790
- TCL Tab 11 – 316/1224
- Xiaomi Pad 6 – 1293/3279
Antutu 3D
- HONOR Pad 9 – 476,626
- Samsung Galxy Tab S9 FE+ – 595,820
- TCL Tab 11 – 205,796
- Xiaomi Pad 6 – 657,448
3DMark
- HONOR Pad 9 – 575
- Samsung Galxy Tab S9 FE+ – 2939
- TCL Tab 11 – 185
- Xiaomi Pad 6 – 1227
KAMERA
Persediaan kamera pada peranti ini pula adalah sekadar memuaskan dengan 13MP untuk kamera belakang dan 8MP untuk kamera swafoto. Meskipun agak rendah tapi dirasakan memadai untuk sebuah kamera tablet dengan ia dapat berfungsi untuk mengambil gambar-gambar dokumen atau melakukan panggilan video dengan kualiti yang boleh diterima.


Hasil gambar menggunakan kamera hadapan turut berfungsi dengan baik dimana gambar terlihat terang dengan pencahayaan yang cukup tetapi keperincian dan ketajaman gambar adalah sangat lemah. Seperti yang saya katakan, persediaan kameranya hanyalah sekadar memuaskan dengan ia dapat menjalankan peranannya namun kualiti tidak begitu baik.


BATERI
HONOR Pad 9 hadir dengan persediaan bateri yang cukup besar iaitu dengan kapasiti sebesar 8500mAh. Langsung tiada isu mengenainya kerana ia mampu bertahan cukup lama dengan ada kalanya saya hanya perlu mengecas peranti selepas dua hari. Meskipun memainkan muzik berjam-jam dan menonton video dalam jangka masa lama, baterinya masih lagi boleh bertahan lama. Cuma sokongan pengecasan adalah sekadar 35W yang menjadikan proses pengecasan semula mengambil masa yang agak lama iaitu hampir dua jam untuk penuh.

AUDIO
Menarik perhatian saya pada awalnya kerana peranti ini hadir dengan persediaan lapan pembesar suara dengan kelantangan bunyi yang cukup baik. Ketika melakukan kerja suntingan video atau menulis artikel menggunakan komputer peribadi, saya akan memainkan muzik pada peranti sebagai peneman kerja. Menurut saya sistem audionya adalah cukup baik walau dalam laras suara yang paling tinggi.

Tetapi anehnya tiada bicu audio 3.5mm yang terbina pada tubuh peranti walhal ia merupakan sebuah tablet dengan saiz yang besar. Banyak ruang di bahagian sisi yang boleh menempatkan lubang bicu audio tetapi saya tidak pasti mengapa Honor memilih untuk tidak menyertakan ciri berkenaan.
KESIMPULAN
Pada tanda harga RM 1499, Honor Pad 9 merupakan sebuah peranti jenis tablet yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Ditambah dengan kapasiti bateri yang besar, sistem audio dengan persediaan lapan pembesar suara dan prestasi yang cukup baik untuk sebuah tablet. Secara keseluruhan, ia adalah sebuah peranti yang mengagumkan dengan tingkat harga yang sesuai serta boleh menjadi tablet mampu milik yang sesuai untuk hiburan dan kegunaan kerja harian ringkas.

PRO
- Harga mampu milik.
- Reka bentuk premium dan kukuh.
- Kapasiti bateri yang besar.
- Sistem audio lapan speaker yang lantang.
- Skrin LCD 12.1″ yang cukup besar.
KONTRA
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Tiada pengimbas cap jari.
- Pengecasan agak perlahan untuk bateri besar.
