Jarak perjalanan yang terhad menjadi batu penghalang EV dijadikan kenderaan pemanduan jarak jauh. Di Malaysia dengan infrastruktur pengecasan yang masih belum matang, perjalanan pulang dengan EV hadir pula dengan masalah perlu menanti giliran yang panjang. Felo TOOZ ialah motosikal elektrik terbesar dunia dengan ia menyelesaikan isu di atas kerana mempunyai jarak perjalanan sehingga 720km dengan sekali caj.

Ini meletakkan jarak perjalanannya lebih jauh berbanding motosikal petrol seperti BMW R80 G/S Paris Dakar (672 km). Bukan setakat itu, TOOZ juga boleh memecut sehingga kelajuan 205 kmj. Motosikal buatan Thailand ini diperlihatkan ketika acara Bangkok Auto Show yang sedang berlangsung sekarang. Maklumat lengkap masih belum dikongsi oleh Felo kerana pada ketika ini hanya prototaip TOOZ sahaja diperlihatkan.

Yang didedahkan ialah motosikal ini adalah dari jenis touring yang menumpukan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh. Terdapat skrin LCD 12″ untuk paparan maklumat pemanduan dan sistem audio 6 saluran untuk pengalaman audio yang baik. Ia turut menyokong pengecasan TYPE2 yang membolehkan bateri dicas daripada 20% ke 80% dalam masa 30 minit sahaja. Maklumat mengenai kapasiti dan jenis bateri belum didedahkan setakat ini.