Carian
Palmsy Adalah Aplikasi Media Sosial Untuk Individu Yang Tiada Kawan
April 1, 2024 Fahim Zahar

Anda mesti selalu mendengar terma Forever Alone di Internet. Ada orang menganggap ia adalah terma yang tidak baik dan ada orang anggap ia hanyalah satu jenaka. Terbaru Palmsy telah dibangunkan sebagai platform media sosial untuk yang tiada kawan, untuk yang Forever Alone atau untuk yang tidak tahu bersosial.

Kenapa ia dibangunkan? Ideanya adalah untuk memberi semangat kepada pengguna media sosial. Misalnya apabila anda mencipta akaun baharu dan berkongsi teks atau gambar, akaun anda tidak akan terus mempunyai ramai kawan dan perkongsian anda mungkin tidak dilihat oleh sesiapa. Palmsy boleh menjadi seakan “pelagak” kerana rakan anda diambil dari senarai kenalan dalam peranti untuk menjadi pengikut dan rakan di Palmsy. Malah secara rawak, rakan anda ini akan menyukai perkongsian yang telah dilakukan. Lebih banyak perkongsian disukai pasti pengguna akan lebih bersemangat.

Setiap perkongsian yang dilakukan tidak disambungkan ke mana-mana laman web atau pelayan. Sebaliknya apa yang anda kongsi semuanya berada di dalam peranti. Idea lain adalah untuk berangan melihat rakan lama mula menyukai perkongsian pengguna atau sudah sampai masa untuk membuang kenalan yang tidak lagi diperlukan. Pengguna turut boleh menjadikan Palmsy sebagai diari peribadi kerana setiap kandungan yang diterbit tidak akan dinilai oleh orang lain.

Palmsy adalah aplikasi untuk iOS dan iPadOS yang percuma untuk dicuba oleh semua. Alternatif jika anda mencari aplikasi untuk menulis diari di iPhone adalah aplikasi Jurnal.

Komen