Cari @ Amanz

Microsoft dan isu anti-persaingan nampaknya sangat sukar untuk berpisah. Sebelum ini, syarikat teknologi tersebut dilihat telah menyatukan penawaran perisian produktiviti pejabat Microsoft Office dan perisian telesidang Microsoft Teams dalam satu berkas Microsoft Office 365.

Akan tetapi perkara ini dilihat menghadapi tentangan daripada Slack yang mengatakan bahawa gabungan ini memberi Microsoft satu kelebihan yang tidak boleh ditawarkan oleh mana-mana pihak yang lain. Oleh kerana ini, mereka telah mula menawarkan langganan dua perisian ini secara berasingan di rantau Eropah.

Perkara ini nampaknya akan dilanjutkan ke pasaran global selepas ini, dimana Microsoft mengumumkan bahawa pada 1 April, mereka akan mengemaskini penawaran Microsoft 365 an Office 365 mereka untuk tidak hadir dengan Microsoft Teams. Perbezaannya disini ialah pelanggan sedia akan diberi pilihan samada untuk meneruskan pelan sedia ada, ataupun untuk melanggan pelan baru, yang dijangka akan hadir dengan tanda harga lebih murah, tetapi tiada sokongan Teams.

Pelan ini dilihat akan memanfaatkan pengguna-pengguna biasa yang hanya menggunakan perisian produktiviti Office, tetapi tiada keperluan untuk perisian telesidang Teams yang rata-ratanya ramai pengguna korporat.

Kami telah bertanya kepada Microsoft Malaysia samada keputusan terbaru ini akan memberi kesan kepada pelanggan Microsoft Office 365. Kami akan mengemaskini artikel ini dengan jawapan daripada mereka tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd