Cari @ Amanz

Tahun 2013 merupakan tahun terawal kenderaan elektrik (EV) dibawa masuk ke Malaysia dan selang 10 tahun, boleh dikatakan penawaran kenderaan elektrik tempatan untuk kegunaan persendirian masih terhad kepada kenderaan elektrik yang hanya mempunyai 5 tempat duduk. Namun bermula tahun 2022 Mercedes-Benz Malaysia telah mula membawa masuk model EQB 350 4Matic mereka yang mempunyai 7 tempat duduk.

Mercedes Benz EQB 350 4Matic
Mod PemanduanEco, Comfort, Sport, Individual
Jarak Perjalanan (WLTP)423km
Pecutan0-100 km/j – 6.2 saat
Kelajuan maksimum160 km/j (dihadkan)
Kapasiti Bateri66.5 kWh
Kelajuan Pengecasan
AC 11kW 0-100%: ~ 5 jam 45 minit
DC 100 kW 10-80%: ~ 32 minit
Tempat duduk7
Kuasa Maksimum292 Ps
Tork Maksimum520 Nm
Fungsi LainActive Distance Assist Distronic, Park Assist Parktronic
Lane Keep Assist, Active Blind Spot Assist
Adaptive Highbeam Assist
Harga JualanRM 333,888

Rekaan Luaran Dalaman

Dari segi rekaan, EQB 350 4Matic ini mengikut ukuran dan rekaan versi petrolnya iaitu GLB 35 dengan kemasan yang dikhaskan untuk kenderaan elektrik mereka menerusi jalur biru yang terdapat di bahagian rim, dan juga lampu hadapan. Dari segi luaran ia saling tidak tumpah seperti SUV dan sesuai untuk pengguna yang inginkan kenderaan dengan tahap ketinggian lantai lebih tinggi berbanding kereta biasa. 

Sedikit kelainan apabila saya membuka but hadapan adalah terdapatnya komponen, tanpa sebarang ruangan simpanan yang biasanya wujud pada kenderaan elektrik. Biasanya terdapat ruangan hadapan atau popular dipanggil ‘frunk’, memuatkan sebarang kabel pengecasan atau kit kecemasan. Untuk EQB 350 ini, tidak terdapat frunk tetapi terdapatnya komponen motor elektrik yang tidak mempunyai sebarang penutup tambahan. Walaupun tiadanya penutup tambahan, tiada sebarang kebisingan yang boleh didengari kerana ruang dalamannya mempunyai penebat bunyi yang sangat baik. 

Ruangan dalamannya pula membawakan kemasan seiring kemewahan, dari paparan antaramuka, kemasan tempat duduk dan kawalan pemanduan, serta keselesaan para penumpang. Apa yang saya dapati paparan antaramukanya bagaikan beroperasi dalam kadar 60FPS, dan jika anda penyunting video, perbezaan fps ini jelas dapat dilihat dalam setiap pergerakan dan animasinya. Malah saya dapat merasakan kualiti paparannya juga diberikan penekanan bagaikan mempunyai kadar ppi yang tinggi, seumpama Retina Display.

Paparan antaramuka yang dipanggil MBUX merupakan singkatan kepada Mercedes-Benz User Experience ini pula mempunyai pelbagai cara untuk mengawalnya, selain dari secara skrin sesentuh, anda juga boleh mengawal dari pad sesentuh yang terdapat pada ruang konsol tengah, dan juga butang kawalan sentuh yang sama seperti telefon pintar terdapat pada stereng pemanduan yang disalut kulit Nappa.

Terdapatnya dua kawalan ini membolehkan pemandu mengawal paparan hiburan dan juga paparan pemanduan dengan mudah. MBUX ini juga turut menyokong sambungan Android Auto dan Apple CarPlay dan sentiasa berhubung dengan internet dan boleh diakses dengan aplikasi Mercedes namun saya tidak mempunyai akses untuk aplikasi tersebut dalam sesi percubaan ini.

Keselesaan penumpang pula terjamin dengan terdapatnya pendingin hawa di setiap sudut, dan juga sambungan pengecasan USB-C termasuklah untuk penumpang yang berada di barisan ketiga. Perlu diingatkan bagi penumpang di barisan ketiga hendaklah tidak melebihi ketinggian 165cm kerana jika penumpang yang lebih tinggi duduk di barisan ketiga, ia akan menjadi satu pengalaman yang mungkin menimbulkan ketidakselesaan bagi perjalanan yang panjang. 

Namun seperkara apabila menggunakan barisan ketiga, adalah ketiadaan ruangan storan dan mungkin pengguna perlu mengharapkan ruang storan tambahan di bumbung yang perlu dibeli berasingan. Justeru saya boleh katakan ini mungkin SUV 5 penumpang dengan ruang storan yang cukup, dan jika anda membawa 7 penumpang untuk pengembaraan seharian itu mungkin tiada masalah storan, namun jika anda berhasrat untuk pulang ke kampung seramai 7 orang anda sememangnya perlukan ruangan storan berasingan.

Prestasi & Pengalaman Pemanduan 

Untuk pemanduan, saya telah membawa Mercedes-Benz EQB 350 4Matic ini di sekitar bandar dan juga sekitar Kuala Pilah, Rembau Tampin dan Lebuhraya Utara Selatan. Kereta ini mempunyai bateri berkapasiti 66.5kW yang memberikan jarak perjalanan sejauh 423km WLTP dan sewaktu saya menerimanya, ia mempunyai jarak perjalanan sejauh 392km kerana jarak perjalanan ini akan senantiasa berdasarkan corak pemanduan terdahulu. 

Untuk pengecasan pula ia mempunyai pengecasan AC 11kW 3 fasa (3-phase) yang membolehkan ia dicaj dari 0-100% sekitar 5 jam 45 minit. Untuk pengecasan pantas DC, ia menyokong 100kW dan boleh mengecas dari 10%-80% sepantas 32 minit. Label 4Matic Bagi EQB 350 ini bermaksud kesemua tayar akan bergerak (All Wheel Drive) jadi ia mempunyai dua motor yang terletak di bahagian hadapan dan belakang yang menghasilkan kuasa 292 PS dan 520 Nm Tork dengan tempoh pecutan 0-100 km/j sepantas 6.2 saat, dan kelajuan maksimum 160 km/j.

Terdapat empat mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, dan Sport serta Individual yang membolehkan pengguna menetapkan corak pemanduan sendiri. Sepanjang tempoh percubaan ini, saya banyak memandu dalam mod Eco dan Comfort bagi menjimatkan penggunaan tenaga, dan hanya memandu Sport untuk tempoh percubaan. Saya mendapati bagi mod Eco, ia merupakan mod pemanduan dengan tahap responsif biasa dan terdapat had laju 130 km/j. Untuk mencapai kelajuan melebihi 130 km/j, pengguna perlu mengubah kepada mod Comfort atau Sport. Mod Eco kebiasaannya akan memperlihatkan penggunaan tenaga sekitar 16 kWh / 100KM. 

Mod Comfort merupakan mod pertengahan dimana pecutan tidaklah tersangat responsif, namun dapat mencapai kelajuan maksimum 160 km/j pada tempoh yang bersesuaian. Untuk mod ini, kebiasaannya akan menjadikan penggunaan tenaga sekitar 18 kWh / 100KM. Jika anda menukar kepada Mod Sports, kesemua talaan kuasa menjadi maksimum, malah anda juga dapat mencapai kelajuan maksimum dengan sangat pantas. Dari segi penggunaan tenaga, Mod Sports membuatkan saya menggunakan tenaga sekitar 22 kWh / 100KM. 

Untuk ketiga-tiga mod ini, saya dapat rasakan motornya memberikan kuasa yang sangat tinggi dan sangat pantas berjajaran dengan mod yang anda pilih namun jika anda sedang memandu dalam Mod Eco, dan anda ingin memotong kenderaan, tiada sebarang petunjuk pada paparan pemanduan yang memberitahu anda sedang dalam keadaan kelajuan yang dihadkan. 

Menambah baik lagi pemanduan ini adalah paparan HUD (Heads Up Display) yang dipancarkan boleh dikustomasi oleh pengguna. Pengguna bebas untuk meletakkan maklumat seperti penggunaan tenaga, paparan kelajuan dan satu panel yang tidak boleh diubah adalah Active Distance Assist Distronic yang membolehkan anda mengikut kelajuan kenderaan di hadapan anda tanpa perlu memijak pedal elektrik anda. Panel tersebut akan kekal di situ, dan dua panel lain boleh berubah sekiranya anda mengaktifkan navigasi, atau memilih informasi lain. 

Fungsi pintar yang terdapat pada EQB 350 ini termasuklah sistem penetapan haluan (Active Lane Keep Assist – LKA), sistem pengesanan titik buta (Active Blind Spot Assist), sistem bantuan parkir ( Park Assist ), sistem lampu tinggi automatik (Adaptive Highbeam Assist) dan bermacam lagi. Saya secara peribadi kurang sukakan tahap pengesanan LKA kerana ia terlebih sensitif, dan ada masa sewaktu penanda jalan yang telah dipadam, sistem ini mengesan haluan tersebut dan cuba membetulkan laluan. 

Di sepanjang perjalanan ini juga saya telah memanfaatkan pembrekan janaan semula (regenerative braking) yang boleh dikawal menerusi tuil kiri dan kanan pada stereng. Menerusi tuil ini, ia memberikan tiga pilihan pembrekan janaan semula, iaitu D pada tahap normal, D+ dengan tahap kurang pembrekan janaan semula, dan D- iaitu tahap maksimum pembrekan janaan semula.

Namun begitu sepanjang pemanduan saya, saya tidak nampak sebarang peratusan bateri yang telah diperoleh semula, mungkin kerana corak pemanduan saya yang agresif, dan tenaga yang dijana semula pada sesuatu masa tidak cukup untuk memberikan petanda walau 1%.

Apapun sepanjang 4 hari pemanduan EQB 350 ini, saya boleh katakan dengan gaya pemanduan sama seperti saya sewaktu membawa kereta petrol, saya tidak mengalami sebarang Kegusaran Perjalanan (Range Anxiety) kerana jarak yang dipaparkan adalah sekata dan tidak tersasar jauh sehingga menimbulkan sebarang kegusaran. Namun begitu saya hanya mengalami Kegusaran Pengecasan (Charging Anxiety) apabila saya tiba di pengecas yang telah kehabisan bateri. 

Dalam video diatas, apa yang terjadi adalah pengecas Gentari di Hentian Sebelah Behrang merupakan pengecas modular mudah alih dan mempunyai tenaga terhad pada satu-satu masa. Saya telah memulakan perjalanan dengan bateri separuh, dan menerusi aplikasi Gentari Go, pengecas tersebut masih sedia digunakan sewaktu saya bertolak. Hanya apabila saya tiba, terdapat Tesla yang baru selesai mengecas, dan sejurus selepas itu pengecas tersebut memasuki mod selenggara. Saya terpaksa membatalkan hasrat menggunakan WCE, dan berpatah balik ke Ulu Bernam bagi mengecas EQB 350 yang telahpun berbaki 50km. 

Untuk pengalaman pengecasan pula, saya kerap mengecas di luar rumah kerana ketiadaan pengecas di rumah pangsapuri. Antaranya saya telah mengecas dari 61% ke 93% iaitu sebanyak 23.8kW selama 2 jam di KL Eco City Mall dan dengan kebolehan untuk menerima AC 11kW 3 fasa, ia merupakan satu tempoh yang agak bagus dan bersesuaian dengan masa yang digunakan untuk berbuka puasa di Mid Valley. 

Saya juga menggunakan pengecasan pantas DC di Pusat Jualan Mercedes Benz Minsoon Seremban, untuk mengecas penuh sewaktu memburu 0KM di Seri Menanti dan Rembau. Tempoh pengecasan selama 40 minit ini telah memanfaatkan keupayaan pengecasan DC 100kW namun begitu jika dibandingkan dengan kebanyakan kereta elektrik yang ditawarkan kini telah menyokong keupayaan pengecasan DC yang lebih tinggi. 

Sekiranya EQB 350 ini menggunakan pengecasan AC pada kadar 3.6kW, ia bakal mengambil masa yang lama, dan dalam skrin di atas, saya mengecas di PKNS Shah Alam pada pukul 6:18pm, dan tahap pengecasan 80% hanya akan dicapai pada pukul 3:10am keesokan harinya. Oleh itu penting untuk bakal pemilik mencari pengecasan AC sepantas 11kW bagi memastikan tempoh pengecasan yang munasabah dan tidak terlalu lama. 

Perjalanan saya dari Seremban telah membawa saya ke Seri Menanti, Kuala Pilah, sebelum turun menerusi jalan kampung ke Tampin, dan naik semula ke Rembau, sebelum pulang ke Kuala Lumpur namun singgah sebentar mengecas di pengecas AC 22kW ChargEV di Kawasan Rehat & Rawat Seremban sambil berbuka puasa selama hampir sejam dan dapat mengecas dari 57% ke 70%.


Secara ringkasnya saya dapat simpulkan pengalaman selama 4 hari memandu Mercedes Benz EQB 350 4Matic ini merupakan satu pengalaman mewah dan praktikal dari segi keselesaan pemanduan, kualiti paparan, kawalan dan prestasi yang responsif. Namun begitu pada harganya RM 333,888 ada beberapa perkara yang mungkin perlu diperbaiki seperti kelajuan pengecasan AC yang ditawarkan pada 11kW, dan juga kelajuan pengecasan DC 100kW. Kedua-dua ini bagi saya merupakan kelemahan kerana terdapat pelbagai lagi kereta elektrik yang menawarkan spesifikasi pengecas AC dan DC lebih tinggi, pada harga yang lebih murah walaupun ketiadaan barisan ketiga tempat duduk. 

Seperkara lagi kekurangan yang saya dapati adalah kelajuan maksimum hanya terhad kepada 160 km/j. Bagi saya secara peribadi, meskipun kelajuan maksimum secara berterusan dapat mengurangkan bateri secara mendadak, dan membuatkan pengecasan lebih kerap perlu dilakukan, ini mungkin satu kekurangan bagi mereka yang memilih kereta atas sebab mengutamakan kelajuan. Seiring kemajuan dan masa, saya yakin perkara ini dapat ditambah baik pada versi akan datang, atau ditawarkan menerusi model yang berlainan. 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd