Carian
Realme 12x 5G Dilancarkan Dengan Cip Dimensity 6100+ Dan Kamera 50MP
April 2, 2024 Amy Maizuraa

Realme 12x 5G telah dilancarkan secara rasminya di India sebentar tadi. Ia menjadi kesinambungan untuk Realme 11x 5G sebelum ini, yang juga ditambahbaik dengan beberapa aspek lain untuk menjadikannya lebih baik.

Berkongsi lebih lanjut peranti dilengkapi skrin LCD FHD 6.72″ dengan kadar segar semula 120Hz. Skrin juga menawarkan kecerahan puncak 950nits lebih tinggi berbanding 680nits yang digunakan pada model terdahulu. Seterusnya cip Dimensity 6100+ digunakan dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan 128GB. Diikuti juga sistem kebuk penyejuk terbina bertujuan bagi mengoptimumkan prestasi peranti.

Terdapat juga fungsi Dynamic Button yang terbina pada butang kuasa seperti Realme 12 5G. Di samping turut menyokong Mini Capsule 2.0 yang dioptimumkan dengan fungsi lebih baik termasuklah kebolehan berinteraksi secara langsung dengan pemberitahuan sedia ada. Diikuti dengan kemampuan mengawal fungsi tertentu tanpa sentuhan melalui ciri khusus Air Gentures.

Bateri 5000mAh disertakan pula boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan 45W. Kemudian digabungkan dengan kamera utama 50MP + 2MP dan swafoto sebesar 8MP sebagai pelengkap. Lain-lain spesifikasi termasuk pembesar suara stereo, kalis air IP65 dan menjalankan Realme UI 5.0 berasaskan Android 14.

Realme 12x 5G dijual di India bermula ₹11,999 (~RM683), ₹13,499 (~RM769) dan ₹14,999 (~RM854) sebuah. Peranti juga telah ditemui berdaftar di laman pensijilan SIRIM sejak 15 Mac yang lalu.

Komen