Program Just Walk Out Dihentikan Di Kedai Amazon Fresh Di Amerika Syarikat
Nazrin
Program Amazon Just Walk Out diperkenalkan untuk membolehkan pelanggan kedai fizikal Amazon Store untuk mengambil apa-apa produk mereka mahu tanpa perlu membayar kepada juruwang ataupun mesin pembayaran sebelum mereka keluar dari kedai.
Sebelum ini, Amazon memperkenalkan program Just Walk Out dengan mengatakan bahawa ia merupakan gabungan sistem kamera canggih dan juga kecerdasan buatan untuk mengimbas produk-produk yang diambil oleh setiap pelanggan, dan kemudiannya akan memberi bil kepada kad kredit yang disambungkan ke akaun Amazon mereka, secara ringkasnya memudahkan dan mempercepatkan proses pembayaran di kedai-kedai Amazon Fresh terpilih.

Beberapa laporan hari ini telah mengesahkan bahawa program Just Walk Out ini tidak menggunakan sistem kecerdasan buatan, tetapi rupa-rupanya kamera-kamera ini menjejak pengguna dengan bantuan 1000 pekerja terpencil di India untuk merakam apa yang dibeli oleh pengguna yang memasuki kedai Amazon Fresh.
Program Just Walk Out ini akan digantikan dengan troli Dash yang secara teknikalnya lebih jitu daripada program ini, kerana pengguna sendiri boleh mengimbas produk yang diambil pada troli sebelum memasukkannya kedalam bakul.

Penutupan program ini juga nampaknya strategi yang perlu untuk Amazon kerana mereka mempunyai pelan untuk menambah jumlah kedai Amazon Fresh secara lebih besar lagi di Amerika Syarikat. Buat masa ini, ia dilaporkan bahawa kedai-kedai kecil mereka seperti Amazon Go masih akan menggunakan teknologi Just Walk Out tersebut.
[sumber]Engadget[/sumber]