Cari @ Amanz

Baru sahaja minggu lalu kita melihat skuter elektrik berjaya memintas RXZ dalam satu video klip yang tular, kini laman web BMW Motorrad Malaysia telah mula meletakkan kapcai elektrik BMW CE 02 didalam penawaran mereka, mungkin menandakan yang kapcai ini bakal hadir ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Kapcai elektrik BMW CE 02 mempunyai 2 bateri berkapasiti 1.96kW yang memberikan jarak perjalanan sejauh 95km WMTC dan boleh dicaj dari 20% ke 80% dalam tempoh 168 minit. Enjin 11kW memberikan kuasa maksimum 15hp dan boleh memcut 0-50km/j dalam masa 3 saat. Terdapat juga versi dengan motor lebih perlahan dan kapasiti bateri dikurangkan namun tidak dapat dipastikan penawarannya untuk pasaran tempatan.

Selain dari itu, ia turut menawarkan 2 fungsi pemanduan yang dipanggil ‘Flow’ untuk corak tunggangan biasa dan ‘Surf’ untuk corak tunggangan agresif dan disertakan dengan sistem brek janaan semula (regenerative braking). Selain dari itu, ia dilengkapi fungsi undur, paparan bersaiz 3.5-inci, cagak khas untuk meletakkan telefon pintar bagi menjadikannya sebagai paparan skunder. 

Buat masa ini, BMW Motorrad Malaysia tidak mengumumkan sebarang harga namun jika dikira dari pasaran Amerika Syarikat, Kapcai Elektrik BMW CE 02 ini ditawarkan pada harga USD 7,599 iaitu sekitar RM 36,000. Jika BMW CE 02 ini rasmi ditawarkan, ia akan menjadikan dua model motorsikal elektrik yang ditawarkan oleh BMW Motorrad Malaysia. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dari mereka.

(Terima kasih Mohar untuk tips)

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd