Carian
TSMC Menghentikan Pengeluaran Cip Kerana Gempa Taiwan
April 3, 2024 Effi Saharudin

Pagi tadi gempa bumi dengan kekuatan 7.4 skala Richter melanda Taiwan. Ia merupakan gempa yang paling kuat melanda Taiwan dalam tempoh 25 tahun. Pada ketika ini empat kematian dilaporkan dan kerosakan dalam bentuk bangunan tumbang dilaporkan. Bagi penggiat dunia industri elektronik, gempa ini menyebabkan TSMC dan beberapa lagi kilang pengeluaran cip menghentikan pengeluaran untuk seketika.

Menurut Bloomberg, TSMC memindahkan pekerja dari kawasan kilang dan kini sedang melakukan penilaian kerosakan yang berlaku pada kilang-kilang mereka. Peralatan pengeluaran cip adalah amat sensitif kepada getaran yang kuat. TSMC belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebarang kerosakan berlaku. Sekiranya ia berlaku, pengeluaran boleh terganggu selama beberapa minggu bagi membaiki semula kelengkapan yang terjejas.

Ini adalah berita yang pasti merisaukan pelanggan seperti Apple, NVIDIA dan Qualcomm yang amat bergantung kepada teknologi pengeluaran cip TSMC. Faktor bencana alam gempa bumi dan ribut serta ketidakstabilan politik rantau disebabkan oleh China menjadi sebab utama TSMC mula membuka kilang fabrikasi cip di luar Taiwan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Komen