Cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite telah diumumkan sebagai cip pemprosesan ARM yang akan bersaing dengan penawaran Apple Silicon, khususnya untuk peranti komputer riba. Ia disahkan akan hadir dengan beberapa model, tetapi buat masa ini butiran lanjut mengenai cip-cip pemprosesan ini tidak diketahui lagi.
Baru-baru ini, ia ditemui bahawa komputer riba Lenovo yang menggunakan cip pemprosesan Snapdragon X Elite ini telah diuji menggunakan Snapdragon X Elite X1E78100. Komputer Lenovo ini telah diuji menggunakan penanda-aras GeekBench V6.
Berdasarkan spesifikasi yang dilihat, cip pemprosesan ini hadir dengan 12 teras yang terdiri daripada gabungan 8 teras kecekapan dan 4 teras prestasi sama seperti apa yang digunakan pada komputer riba Samsung Book 4 Edge yang menggunakan cip Qualcomm Snapdragon X Elite X1E801000.
Skor penanda-aras satu teras diperlihatkan pada 2427, manakala skor multi-teras diperlihatkan pada 14254. Kelajuan asas cip pemprosesan ini juga ditetapkan pada 3.42GHz, tetapi kelajuan boost clock tidak diketahui.
Setakat ini, hanya butiran tentang cip pemprosesan Snapdragon X Elite X1E801000 dan Snapdragon X Elite X1E78100 diketahui buat masa ini, walaupun kita tahu bahawa Qualcomm akan melancarkan lebih banyak lagi cip pemprosesan Snapdragon X Elite di pasaran kelak.