DJI Menjadualkan Pelancaran Produk Baharu Pada 11 April 2024 – Mungkin Avata 2
Amy Maizuraa
DJI dilihat bakal hadir dengan produk baharu yang masih dirahsiakan nama modelnya pada 11 April akan datang. Ia diumumkan secara terbuka melalui akaun media sosial dan laman web rasmi semalam dengan video pendek yang disertakan bersama.

Ramai yang mengaitkannya dengan dron baharu Avata 2. Malah menguatkan dakwaan apabila grafik dikongsi kelihatan sama seperti reka bentuk Avata 2 yang tertiris sejak kebelakangan ini. Melaluinya sebuah kamera tunggal dan empat set kipas kelak boleh digunakan pada dron tersebut. Turut dijangka menjadi tumpuan ialah binaan tubuh yang dipercayai lebih nipis dan masih mengekalkan teknologi penerbangan gaya FPV (First Person View).

Dalam pada itu DJI turut dijangka mengumumkan sejumlah produk lain seperti Goggles 3, RC Motion Control 3 dan Remote Control 3, yang sepatutnya boleh menjadi sebahagian besar aksesori tambahan untuk setiap pembelian kelak. DJI masih belum memperincikan butiran mengenai spesifikasi yang sudah pastinya terjawab sepenuhnya sewaktu acara pelancaran kelak.