Google Messages kini adalah aplikasi pemesejan lalai untuk SMS, RCS dan MMS pada kebanyakan peranti Android. Aplikasi ini padat dengan ciri dan fungsi menarik termasuk dengan sokongan berbual dengan Gemini terus tanpa menggunakan pelayar web atau aplikasi lain. Terbaru, Google dilihat menguji kemampuan komunikasi satelit pula pada Messages.
Berbeza dengan peranti lain seperti Apple atau Huawei yang dikhususkan untuk tujuan kecemasan sahaja, Google Messages mencadangkan komunikasi satelit mereka boleh menghantar mesej kepada sesiapa sahaja. Laporan 9to5Google menyatakan yang pengguna harus berada di luar di bawah langit yang cerah dan mesej hanya boleh mengandungi teks tanpa sebarang fail media seperti video atau gambar.

Google turut ada memberitahu pengguna yang penggunaan komunikasi satelit mengambil masa yang lama untuk menghantar dan menerima mesej. Ciri ini dilihat diuji pada Google Messages versi beta 20240329_01_RC00 dan tidak pasti bila ia akan ke tangan semua pengguna.