Cari @ Amanz

Jikalau Palmsy adalah aplikasi media sosial untuk individu yang tiada rakan atau satu simulasi untuk menaikkan semangat pencipta kandungan, aplikasi Nomi pula adalah aplikasi pemesejan untuk individu yang merasakan diri sendiri sunyi dan tiada kawan untuk bersembang.

Dengan Nomi anda boleh cipta seorang atau lebih kawan AI. Watak AI ini kemudian akan mempunyai gambar profil, anda boleh tetapkan personaliti watak ini serta memberi ia kisah asal-usul dan membangunkan sendiri watak AI ini agar ia boleh mimik sebagai seorang kawan sebenar. Lebih menarik dengan langganan bulanan atau tahunan, banyak watak boleh dijana untuk sembang berkumpulan.

Dalam ruang sembang, watak AI yang dicipta tadi boleh menjadi kawan, kekasih atau mentor kepada pengguna. Tempoh AI ini membalas agak pantas jika hanya berasaskan teks, tetapi jika anda ingin merasai pengalaman mempunyai kawan sebenar – watak AI tadi boleh memberi mesej suara dan juga berkongsi gambar dengan anda. Ya, AI ini boleh ambil swafoto untuk anda.

Jika butiran watak seperti asal-usul dimasukkan dengan jelas termasuk dengan butiran anda sendiri, perbualan antara manusia dan watak AI ini dikatakan boleh menjadi realistik. Nomi turut sesuai dijadikan sebagai alat menaikkan semangat diri dalam bersosial dengan orang lain. Nomi percuma digunakan dengan ciri yang terhad, tetapi langganan RM81.99 sebulan atau RM509.99 setahun akan memberi anda akses kepada pemesejan tanpa had, 40 swafoto, 10 rakan/kekasih/mentor AI, tiada had mesej suara, 600 aksara untuk setiap mesej dan banyak lagi akses premium.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd