Carian
Peranti Raya Terbaik Amanz 2024 – Kelas Mercu
April 9, 2024 Amy Maizuraa

Teruskan artikel kali ini dengan peranti raya terbaik Amanz 2024 untuk kelas mercu premium. Proses membuat keputusan dalam kalangan editor sedikit sukar memandangkan pasaran kini sedia dipenuhi pelbagai peranti dengan fungsi lebih daripada memadai. Namun selepas berbincang, kesemua editor sebulat suara untuk memilih tiga peranti dalam senarai di bawah sebagai yang terbaik pada tahun ini.

Mengikut tradisi kami di Amanz, senarai Peranti Terbaik Raya kami sampaikan kepada anda. Ini ialah anugerah awal tahun yang merangkumi peranti terbaik setakat ini. Dengan duit raya yang akan dikumpul nanti, ini ialah peranti-peranti yang kami sarankan kerana dirasakan berbaloi untuk dimiliki oleh pembaca semua.

Kriteria Pemilihan

  • Telah kami ulas di Amanz.
  • Sedang kami ulas di Amanz.
  • Dilengkapi cip kelas mercu.
  • Prestasi terbaik dalam pelbagai kategori.
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Tempat Ketiga – Apple iPhone 15 Pro Max

Tahun ini kami masukkan iPhone 15 Pro Max dalam senarai peranti mercu premium raya terbaik. Skrin 6.7-inci digunakan adalah terbesar dalam barisan iPhone 15 dan dilengkapi banyak ciri terkini. Telefon ini juga memiliki kelebihan kemasan titanium untuk penampilan lebih premium. Turut menjadi perhatian adalah penggunaan port USB-C yang menjadi perubahan paling dinantikan oleh ramai pengguna Apple.

Kemudian sistem kamera telefon juga menawarkan zum optikal sehingga 5X menerusi sensor telefoto 12MP, selain turut terdapatnya fungsi Action Button yang membolehkan pengguna menyesuaikan akses pintas dengan lebih mudah. Keseluruhan prestasi juga baik dengan cip A17 Pro yang berkuasa.

Spesifikasi: 6.7″ LTPO Super Retina XDR OLED 120Hz, Apple A17 Pro (2 X 3.78 GHz Kuasa Tinggi & 4 X 2.8 GHz Kecekapan), Apple GPU 6 Teras, 8GB RAM, storan sehingga 1TB VNMe, 48MP + 12MP + 12MP dengan OIS, 12MP (Swafoto), 4441 mAh (23W), iOS 17.

Harga: RM6,499 (8/256GB) , RM7,499 (8/512GB) , RM8,499 (8/1000GB)


Tempat Kedua – Xiaomi 14 Ultra

Xiaomi 14 Ultra juga antara peranti mercu premium terbaik yang dikeluarkan pada tahun ini. Keunikan 14 Ultra terletak pada sistem kamera dengan kanta Leica Summilux yang dipadankan kepada kuad-sensor 50MP. Sensor yang dipadankan kepada lensa sudut lebar ialah dari jenis 1″ yang memberikan prestasi fotografi cukup menakjubkan.

Pengguna juga boleh memanfaatkan paparan AMOLED 6.7″ yang besar dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 3000nits. Bateri besar 5000mAh disertakan juga boleh dicas dengan pantas dengan kuasa out 90W untuk berwayar dan nirwayar 80W. Pelancar baharu HyperOS berasaskan Android 14 pula menyelesaikan beberapa isu yang sering dikaitkan dengan MIUI.

Spesifikasi: 6.73″ AMOLED WQHD+ 120Hz, Snapdragon 8 Gen 3 (1×3.3 GHz Cortex-X4 & 3×3.2 GHz, Cortex-A720 & 2×3.0 GHz, Cortex-A720 & 2×2.3 GHz & Cortex-A520), 16GB LPDDR5X, 512GB UFS 4.0, 5,000mAh (berwayar 90W & nirwayar 80W), Xiaomi HyperOS.

Harga: RM5,100 (12/512GB)


Juara – Samsung Galaxy S24 Ultra

Juara bagi kategori ini ialah Samsung Galaxy S24 Ultra. Telefon ini mempunyai binaan titanium baharu yang premium, cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy yang cukup berkuasa, skrin yang terang tetapi tidak silau, sokongan S Pen dan sistem kamera yang cukup lengkap.

Kekutana utama S24 Ultra terletak pada Galaxy AI. Ciri ini bukan sekadar gimik sebaliknya membuatkan saya yakin dunia Peranti AI telah bermula. Peranti yang tidak dilancarkan tanpa kemampuan AI akan mempunyai kekurangan yang amat ketara. Kemampuan Chat Assist, Photo Assist dan Circle To Search With Google adalah amat berguna untuk kegunaan setiap hari. Turut menjadi perhatian ialah prestasi bateri amat baik dengan kapasiti 5000mAh, kalis air IP68 dan sokongan versi Android serta tampalan sekuriti selama tujuh tahun. Bagi yang mencari peranti AI dengan sokongan perisian terbaik di pasaran, S24 Ultra ialah pilihan terbaik untuk Hari Raya.

Spesifikasi: 6.8″ Dynamic AMOLED 2X WQHD+ 120Hz, Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy (1×3.3 GHz Cortex-X4 & 3×3.2 GHz, Cortex-A720 & 2×3.0 GHz, Cortex-A720 & 2×2.3 GHz & Cortex-A520), Adreno 750, 12GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB , 5,000mAh (berwayar 45W & nirwayar 15W), One UI 6.1

Harga: RM6,299 (12/256GB), RM6,799 (12/512GB), RM7,799 (12/1000GB)


Itulah senarai peranti-peranti terbaik raya Amanz untuk segmen kelas mercu premium pada tahun 2024. Jangan lupa juga untuk membaca artikel peranti terbaik raya yang lain untuk segmen bawah RM1000, nilai terbaik dan pertengahan premium di laman web kami. Selamat hari raya buat semua daripada kami di Amanz, tangan dihulur maaf dipinta, semoga lebaran nanti disambut penuh gembira.

Komen