Carian
Samsung Galaxy S25 Mungkin Masih Akan Menggunakan Cip Snapdragon
April 5, 2024 Effi Saharudin

Beberapa tahun yang lalu muncul ura-ura Samsung Galaxy S25 akan hanya menggunakan cip Exynos keluaran mereka sendiri. Cip Exynos ini akan dihasilkan khusus untuk peranti Galaxy bagi memenuhi keperluan syarikat. Tetapi nama baik Exynos sedikit tercalar sekarang dan di Malaysia amnya, ramai lebih menyukai peranti dengan cip Snapdragon.

Menurut laporan DigiTimes, Samsung Galaxy S25 tahun depan masih akan ditawarkan dengan cip Snapdragon. Besar kemungkinan strategi dwi-cip yang dilakukan tahun ini akan diteruskan. Maka tidaklah mengejutkan jika Galaxy S25 Ultra akan menggunakan cip Snapdragon manakala S25 dan S25+ pula dengan cip Exynos di pasaran selain Amerika Syarikat.

Pelbagai ura-ura lain mengatakan cip Exynos mercu yang seterusnya akan dilengkapi NPU Tensor yang dibangunkan oleh Google dan digunakan pada peranti Pixel. Google dan Samsung mempunyai hubungan yang amat rapat dengan cip Tensor G3 untuk siri Pixel 8 dikilangkan oleh Samsung.

Integrasi ciri AI Google juga dapat dilihat dengan ketara pada siri S24. Sehingga kini ciri Circle to Search misalnya hanya boleh digunakan pada peranti Pixel dan Samsung.

Adakah pengguna di Malaysia bersedia untuk memberikan peluang kedua kepada cip Exynos? Dari pengalaman kami menggunakan siri Galaxy S24 tahun ini, Exynos 2400 ialah cip yang hampir setanding prestasinya dengan Snapdragon 8 Gen 3.

Komen