Life’s Good (LG) adalah jenama barangan elektrik yang cukup popular. Di Malaysia LG terkenal dengan peti ais, mesin basuh, pendingin hawa, penapis udara dan banyak lagi. Baru-baru ini LG telah memperkenalkan Rent-Up iaitu program sewa beli produk mereka bagi bersaing dengan Coway, Cuckoo dan lain-lain. Untuk menjayakan Rent-Up mereka telah membuka Pusat Servis dan Akademi LG pertama di Malaysia.

Pusat Servis dan Akademi LG ini adalah untuk melatih para pekerja dan juruteknik LG. Mereka yang dilatih di akademi ini akan menjadi juruteknik rumah-ke-rumah untuk pelanggan LG yang melanggan Rent-Up. Tempat ini menawarkan bilik mesyuarat untuk perbincangan penting, bilik latihan untuk mempelajari luar dan dalam produk serta bilik MOT untuk para pekerja menguji produk-produk LG.


Pelanggan turut boleh datang ke tempat ini, ia terletak di; LG Service Centre & Academy, Lot A-G-19 & A-1-19, Razak City, 2, Jalan Sungai Besi, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pelanggan yang datang boleh terus membeli produk LG yang dipamerkan jika terdapat ejen jualan. Jika tidak, Pusat Servis dan Akademi LG ini akan menjadi tempat di mana pelanggan boleh mengadu, menuntut jaminan dan/atau meminta bantuan seperti servis produk LG yang sudah tiba masanya.

Wakil LG Malaysia berkongsi yang sasaran mereka dengan pusat servis dan akademi ini adalah untuk bersaing dengan Cuckoo atau Coway. Kini LG pun ada juruteknik sendiri yang boleh membantu pelanggan membaiki dan servis produk seperti pendingin hawa atau penapis udara. Program Rent-Up dikatakan membenarkan pengguna memiliki sebuah produk dengan tempoh langganan 5-7 tahun.