Carian
Microsoft Sedang Membangunkan Ciri Untuk Mengehad Penggunaan Memori Pada Pelayar Web
April 5, 2024 Nazrin

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan bahawa pelayar web komputer merupakan salah satu perisian yang banyak memakan RAM kebelakangan ini. Laman web dinamik, termasuklah corak penggunaan pengguna yang akan membiarkan laman-laman web terbiar sehingga 20-30 tab yang boleh menyebabkan komputer anda beroperasi dengan perlahan.

Terkini, Microsoft nampaknya sedang menguji sebuah ciri yang membolehkan pengguna untuk menetapkan had penggunaan memori pada pelayar web Microsoft Edge. Ia sedang diperkenalkan pada binaan Canary terbaru, dan boleh diakses melalui menu tetapan System and Performance.

Sebuah bar peluncur dapat diperlihatkan di bawah menu tersebut dan anda akan boleh menetapkan jumlah RAM yang mahu digunakan pada pelayar web ini. Ia sedikit sebanyak memastikan bahawa pelayar web anda tidak memakan begitu banyak memori dan membantu dalam membolehkan komputer anda beroperasi pada tahap optimum.

Pengguna boleh memilih untuk menggunakan 1GB RAM sahaja sehinggalah jumlah memori maksima yang ada pada komputer anda. Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan memperkenalkan ciri ini pada binaan akhir sistem operasi Windows 11.

Komen