Pada awal tahun ini, Acer telah mengemaskini komponen dalaman sejumlah penawaran komputer riba mereka untuk menggunakan komponen-komponen CPU dan GPU yang paling berkuasa. Salah satu daripada komputer riba tersebut ialah Acer Predator Helios Neo 14.

Komputer riba ini tampil dengan paparan skrin bersaiz 14 inci beresolusi WQXGA (3072×1920) dengan kadar segar semula 165Hz yang mampu mengolah 100 gamut warna SRGB dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC untuk olahan grafik yang sempurna.
Komputer riba ini tampil dengan pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake sehinggalah model Intel Core Ultra 9 185H dan juga gabungan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa-apa permainan komputer moden pada resolusi dan kadar segar semula tinggi.

Walaupun komputer riba ini mempunyai rekaan yang lebih padat berbanding dengan beberapa komputer riba dalam siri Predator ini sendiri, ia masih lagi dilengkapi dengan sistem penyejukan yang menggabungkan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-5 dan juga gabungan bongkah penyejukan kuprum dengan logam cecair untuk memastikan haba dapat dialihkan daripada komponen CPU dan GPU dengan lebih cekap.
Bukan itu sahaja, komputer riba ini juga dimuatkan dengan sokongan teknologi WiFi 6E dan Thunderbolt 4 untuk sambungan internet nirwayar dan juga kadar penghantaran data yang jauh lebih pantas berbanding penawaran mereka sebelum ini.
Pihak Acer mengatakan bahawa komputer riba Predator Helios Neo 14 ini akan memasuki pasaran-pasaran tertentu seperti Amerika Syarikat dan Eropah sekitar bulan Mei dan Jun ini. Untuk pasaran Malaysia pula, pihak Acer Malaysia berkata bahawa tarikh jualan masih belum ditetapkan lagi buat masa ini.