Carian
Pengguna Kelak Boleh Kawal Jumlah RAM Yang Digunakan Microsoft Edge
April 5, 2024 Fahim Zahar

Selepas bertahun menantikan, barulah Google Chrome menjadi pelayar web yang tidak menggunakan jumlah RAM yang tinggi. Itu pun selepas lama orang ramai meminta ciri ini disertakan. Tetapi tahukah anda, sejak Microsoft Edge menggunakan kod Chromium, pelayar web mereka adalah lebih pantas, jimat penggunaan kuasa dan paling kurang menggunakan memori sebelum ciri sama tiba ke Chrome?

Akan datang, pengguna boleh mengawal jumlah RAM yang digunakan oleh Microsoft Edge. Memberi lebih kawalan kepada pengguna agar pelayar web tidak menggunakan memori secara berlebihan. Dengan ciri ini diperkenalkan, sokongan multi-tugasan pada komputer dan prestasi Edge boleh menjadi lebih baik dan terkawal. Lebih menarik, ciri kawalan RAM ini boleh diaktifkan sentiasa atau hanya ketika bermain permainan video sahaja.

Buat masa ini, ciri kawalan RAM pada Edge masih lagi dalam peringkat ujian dan tidak pasti bila ia akan tiba ke tangan pengguna. Tetapi jika dilancarkan, saya pasti akan menggunakannya kerana 16GB RAM pada laptop Windows tidak cukup berkuasa jika cip yang digunakan sudah berusia. Apa kata anda?

Komen