Meta, syarikat disebalik Facebook dan Instagram merupakan salah satu syarikat yang turut melabur tinggi dalam arena kecerdasan buatan. Sebelum ini, Meta telah mengeluarkan model mereka, dan menawarkan sejumlah perkara dalam bentuk sumber terbuka.
Tidak hanya itu, kini mengikut laporan NYTimes, Meta pernah berbincang untuk membeli penebit Simon & Schuster pada tahun lepas, dalam usaha mendapatkan pelbagai karya untuk digunakan dalam melatih model kecerdasan buatan mereka.
Untuk makluman, Simon & Schuster merupakan antara lima penerbit buku terbesar. Salah satu buku terbitan mereka adalah Elon Musk tulisan Walter Issacson. Walaubagaimanapun, ia dilihat tidak diteruskan buat masa ini.
Namun, langkah Meta ini memperlihatkan sesuatu yang serba baharu dalam arena melatih model kecerdasan buatan. Dengan perkembangan dunia kecerdasan buatan ini, salah satu masalah yang dihadapi adalah kekangan atau kekurangan bahan untuk terus melatih model-model berkenaan. Berbanding hanya melesenkan kandungan, dengan membeli penerbit buku, ia akan memberikan hasil yang lebih baik dan telah sedia disunting editor.
Sebelum ini, ia pernah diperkatakan berkemungkinan syarikat teknologi akan mencapai kekangan bahan melatih model kecerdasan buatan menjelang 2026 kelak. Mungkinkah menjelang tempoh berkenaan, kita akan melihat syarikat teknologi mula aktif membeli penerbit kandungan pula?