Kenderaan dengan sistem inforia yang dungu biasanya boleh dinaiktaraf dengan pelbagai pilihan sistem inforia yang pintar. Ada yang dikuasakan dengan Linux, ada yang merupakan sebuah tablet Android dan ada juga konsep iPad Mini pada kereta Perodua. Pilihan popular adalah Android Player yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Tetapi di Kickstarter, terdapat projek yang yang membolehkan Samsung DeX digunakan pada sistem inforia kereta.
Auto Pro X adalah sebuah dongel untuk pengguna menggunakan DeX pada skrin inforia kenderaan sedia ada secara nirwayar. Kaedah penggunaan juga mudah, hanya sambungkan dongel ke inforia kenderaan dan kemudian memilih untuk melancarkan DeX pada peranti Galaxy. Menurut Mayton iaitu pengeluar Auto Pro X, produk ini adalah untuk memberi pengguna akses kepada pelbagai aplikasi yang tidak disokong pada Android Auto.

Selain itu, Auto Pro X turut dibangunkan untuk mereka yang ingin bekerja dari dalam kereta kerana ia turut menyokong sambungan papan kekunci, tetikus dan jika ingin bermain permua atau strim permainan sambungan dengan alat kawalan juga boleh dilakukan. Dongel ini dijual di lama Kickstarter pada harga $199( ~RM945) sebuah.