Carian
Gmail Akan Mempunyai Ciri AI Yang Merumuskan Emel
April 8, 2024 Effi Saharudin

Setiap hari saya menerima ratusan emel bagi tugasan kerja. Ia mungkin kemas kini kepada ciri pada peranti, promosi produk dan juga kerap kali maklumat mengenai peranti yang diterima awal sebelum pelancaran. Kerana jumlah emel yang diterima adalah banyak, proses membaca setiap emel amatlah memenatkan. Jika ini adalah masalah yang sama untuk anda, kelak Gmail akan mempunyai ciri merumuskan emel yang diterima.

Butang “Summarise this email” ditemukan dalam aplikasi Gmail yang sedang diuji oleh Plunikaweb. Dengan sekali tekan, kandungan emel yang panjang atau rantaian beberapa emel boleh dirumuskan menggunakan kecerdasan buatan. Sebelum ini ciri yang sama hanya boleh digunakan pada Gmail versi desktop untuk pelanggan Google Workspace berbayar.

Dengan penemuan butang ini, besar kemungkinan ciri ini akan turut ditawarkan dalam aplikasi Gmail dan kepada semua pengguna perkhidmatan ini dalam masa terdekat.

Komen