Carian
Presto Yang Mengemaskini iPhone Yang Masih Dalam Kotak Dikuasakan Oleh Mac Mini
April 8, 2024 Fahim Zahar

Presto adalah mesin yang mengemaskini iPhone baharu tanpa ia perlu dikeluarkan dari dalam kotak. Ini adalah jalan penyelesaian baharu Apple untuk memastikan pengguna sentiasa menerima iOS terkini sebaik sahaja menerima iPhone baharu berbanding sebelum ini perlu dikemaskini secara sendiri.

9to5Google baru-baru ini berkongsi dengan lebih butiran bagaimanakah Presto berfungsi. Presto dikatakan adalah mesin seakan pembakar roti yang boleh memuatkan enam iPhone berbeza serentak. Ia mengambil masa sekitar 20 saat untuk memasukkan sebuah iPhone dan ruangannya boleh diubahsuai mengikut saiz kotak. Selepas itu ia akan mengambil masa mencapai 30 minit untuk proses kemas kini perisian dilakukan.

iPhone di dalam Presto dikatakan menggunakan sambungan MagSafe dan juga teknologi nirwayar lain yang tidak didedahkan. Mesin ini turut dikuasakan oleh sebuah Mac Mini dan ia boleh memberitahu pekerja Apple Store iPhone mana yang masih perlu dikemaskini, mana yang telah selesai, menyemak jualan harian dan juga ramalan jualan untuk memproses iPhone yang akan kehabisan stok. Mesin ini turut akan memberitahu pekerja Apple untuk mengemaskini iPhone sebaik sahaja iOS baharu sudah boleh dimuat turun.

Laman iGeneration memberitahu yang mesin Presto tidak memerlukan sebarang latihan spesifik ia boleh dikendalikan oleh mana-mana pekerja. Presto dikatakan sudah mula beroperasi di Apple Store terpilih. Mana tahu apabila Apple Store Malaysia dibuka kita boleh nampak Presto ini.

Komen