Find My Device ialah ciri yang kami gunakan setiap kali terlupa di mana peranti Android diletakkan. Peranti boleh dijejak dan kemudian nada dering boleh diaktifkan supaya memudahkan pencariannya. Pagi ini Find My Device baharu telah diumumkan oleh Google dengan sokongan penjejakan lebih banyak objek.

Find My Device baharu kini boleh menjejak telefon, tablet, jam, aksesori bluetooth dan penjejak objek seperti Tiles. Lebih penting sekali ialah ia boleh menjejak kewujudan penjejak objek bluetooth asing yang mungkin digunakan bagi tujuan mengintip. Ciri ini menyokong penjejak objek Android dan juga Apple AirTag.

Seterusnya jika pemilik mempunyai beberapa Google Nest di rumah, Find My Device akan memberitahu objek di berada berhampiran Google Nest yang paling hampir. Akhir sekali pemilik turut boleh berkongsi lokasi objek yang ingin dicari dengan rakan atau ahli keluarga. Katakanlah tablet Android tertinggal di rumah emak di kampung, anda boleh meminta bantuan emak mencarinya dengan ciri perkongsian ini.

Pada ketika ini Find My Device baharu hanya diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat dan Kanada terlebih dahulu.