Carian
Peranti Terbaik Raya 2024 – Kelas Nilai Terbaik
April 9, 2024 Fahim Zahar

Hari Raya sudah hampir tiba, apa pula peranti raya yang ada nilai terbaik? Tahun ini cukup mencabar kerana bukan lagi peranti kelas pertengahan yang mencabar peranti mercu, tetapi peranti kelas asas mula menawarkan ciri dan fungsi hebat menjadikan banyak penawaran peranti yang berbaloi untuk dimiliki. Walaupun sukar untuk kami memilih yang mana satu, selepas berbincang dengan serius bersama sidang editorial Amanz, berikut adalah tiga peranti dengan nilai terbaik untuk Hari Raya 2024.

Mengikut tradisi kami di Amanz, senarai Peranti Terbaik Raya kami sampaikan kepada anda. Ini ialah anugerah awal tahun yang merangkumi peranti terbaik setakat ini. Dengan duit raya yang akan dikumpul nanti, ini ialah peranti-peranti yang kami sarankan kerana dirasakan berbaloi untuk dimiliki oleh pembaca semua.

Kriteria Pemilihan

  • Peranti sudah diulas.
  • Peranti sedang diulas.
  • Peranti padat dengan ciri yang menarik yang berbaloi.
  • Peranti dijual di Malaysia secara rasmi.

Tempat Ketiga– iQOO 12

Peranti ini diberi pengecualian walaupun dilancarkan pada tahun 2023. Ini kerana ia tiba di hujung tahun dan tidak bertarung ketika Peranti Terbaik Amanz 2023 diadakan. iQOO 12 benar-benar mencabar pesaing lain yang turut menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 dengan harga yang mampu milik. Spesifikasi yang memuaskan seperti skrin 6.78″ AMOLED 144Hz HDR10+ dan prestasi yang sangat mengagumkan.

Kemampuan kamera juga cukup baik dan tidak kira apa jua situasi pencahayaan iQOO 12 boleh memberikan hasil yang tidak mengecewakan. Bateri 5000mAh dengan pengecasan 120W, memori 16GB dengan memori maya lagi 16GB menjadikan peranti ini mempunyai 32GB RAM dan harga jualan hanya RM3399.

Spesifikasi: 6.78” AMOLED 2800 x 1260, 144Hz, Snapdragon 8 Gen 3 (4nm, 1X Cortex-X3 3.2GHz + 4X Cortex-A715 2.8GHz + 3X Cortex-A510 2.0 GHz), 16GB RAM, storan 512GB, 50+64+50 (Utama), 16MP (Swafoto), 5000mAh (120W), Android 14.

Harga: RM3399 (16/512 GB)

Tempat Kedua – Infinix Note 40 Pro

Ini adalah salah satu peranti kelas asas yang mencabar peranti kelas pertengahan premium. Infinix Note 40 Pro padat dengan ciri dan fungsi premium pada harga yang tidak masuk akal. Peranti dijana dengan cip Dimensity 7020 yang cukup baik untuk penggunaan harian. Walaupun markah penanda aras tidak cemerlang, pengalaman bermain permua adalah di luar jangkaan.

Sementara itu bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 45W dan turut menyokong pengecasan nirwayar bermagnet MagCharge. Jika anda rasa pengecasan pantas dan MagCharge itu gimik, Infinix Note 40 Pro direka agar kelihatan seakan sebuah peranti mercu seperti dengan skrin melengkung dan rekaan tubuh yang sangat nipis. Pada harga RM1098, ia adalah satu pembunuh peranti kelas pertengahan.

Spesifikasi: 6.78” AMOLED 1080 x 2436, 120Hz, Dimensity 7020 (6nm, 2x 2.2 GHz Cortex-A78 + 6x 2.0 GHz Cortex-A55), 8GB RAM, storan 256GB, 108+2+2 (Utama), 32MP (Swafoto), 5000mAh (45W), Android 14.

Harga: RM1098 (8/256 GB)

Juara – OnePlus 12R

OnePlus Malaysia tahun ini agak menyepi, tetapi tidak bermakna peranti yang dilancarkan tahun ini hambar. OnePlus 12R menjadi pilihan kami untuk kategori ini kerana ia seperti OnePlus 11 yang menjadi juara kategori ini tahun lalu. Ia dilengkapi skrin 6.78″ LTPO4 AMOLED 120Hz Dolby Vision, dijana Snapdragon 8 Gen 2 dan bateri 5500 mAh yang disertakan adalah cukup besar lengkap dengan pengecasan 100W.

Kamera utama adalah 50MP yang sama seperti OnePlus 11 cuma sensor sudut lebar dan makro telah ditukar. Jika anda ingin menggunakan peranti OnePlus dan tidak kisah ketiadaan kamera Hasselblad, OnePlus 12R adalah peranti nilai terbaik untuk anda kerana pakej yang ditawarkan cukup memuaskan.

Spesifikasi: 6.78” LTPO4 AMOLED 120Hz Dolby Vision, Snapdragon 8 Gen 2 (4nm,1x 3.2 GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3x 2.0 GHz Cortex-A510), 16GB RAM, storan 512GB, 50+8+2 (Utama), 16MP (Swafoto), 5500mAh (100W), Android 14.

Harga: RM3199 (16/512 GB)


Baiklah jika anda keliru untuk mencari peranti apakah yang sesuai untuk digunakan pada Hari Raya, diharapkan artikel ini akan dapat membantu. Untuk artikel peranti raya kelas pertengahan premium dan peranti mercu sila terus ikuti Amanz dan nantikan tidak lama lagi. Selamat Hari Raya Maaf Analog Dan Digital.

Komen