Prime Video merupakan salah satu perkhidmatan penstriman video popular, dan dimiliki oleh Amazon. Ia telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas, dan ditawarkan di Malaysia pada harga langganan RM25 sebulan.
Di Malaysia sendiri, Amazon sedia mendapatkan sejumlah kandungan tempatan, dan ditawarkan secara eksklusif melalui platform berkenaan. Terbaru, CEO Amazon, iaitu Andy Jassy berkongsi angka buat pertama kalinya, menyatakan Prime Video kini ditonton lebih 200 juta penonton setiap bulan.
Untuk makluman, data tontonan ini adalah berbeza dengan data pelanggan. Seperti beberapa perkhidmatan penstriman lain, Prime Video turut membolehkan pengguna menghasilkan profil berbeza dibawah akaun, dan menonton melaluinya. Ia tidak diketahui lagi berapakah jumlah pelanggan sebenar platform berkenaan.
Angka penonton ini dikongsikan dalam usaha menarik lebih ramai pengiklan untuk mengiklan pada perkhidmatan penstriman video berkenaan.
Kebelakangan ini, beberapa perkhidmatan penstriman telah mula melihat kepada kaedah paparan pengiklanan dalam usaha menjana pendapatan tambahan dan menampung kos operasi perkhidmatan penstriman berkenaan. Amazon sendiri telah mula memaparkan iklan pada Prime Video di beberapa buah negara.
Buat masa ini, masih tiada perancangan berkenaan paparan pengiklanan pada perkhidmatan penstriman berkenaan, di Malaysia.