Sejak kebelakangan ini, cincin pintar dilihat semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengeluar elektronik sejajar dengan usaha mewujudkan cara lebih mudah dalam memantau kesihatan. BlackShark juga tidak ketinggalan apabila turut mengacah kehadiran cincin pintar tersendiri akan datangnya melalui salah satu kemaskini di Weibo.

Berdasarkan imej promosi rasmi diperlihatkan ia menawarkan reka bentuk cukup kemas yang dihiasi warna perak berkilauan bersama lampu LED kecil di bahagian dalam. Ia turut didakwa mampu beroperasi sehingga 180 hari, di mana masa penggunaan ini adalah lebih panjang berbanding yang ditawarkan pada Samsung Galaxy Ring.
Namun BlackShark tidak pula mendedahkan dengan lebih khusus mengenai corak penggunaan untuknya memandangkan kebanyakan cincin pintar di pasaran setakat mampu menawarkan hayat bateri diantara lima hingga tujuh hari untuk satu pengecasan penuh.

Selain itu, BlackShark juga berkongsi cincin pintar ini akan mempunyai sensor yang boleh digunakan untuk menyukat kadar denyutan jantung, oksigen darah, suhu badan, dan pengesanan HRV (Heart Rate Variability). Walaupun sudah diacah di dalam poster rasmi, tarikh pelancaran cincin pintar ini masih belum diumumkan.