Carian
DiskMantler Merombak Cakera Keras Ke Komponen Asas Untuk Memudahkan Kitar Semula Komponen
April 15, 2024 Nazrin

Pelupusan komponen storan seperti cakera keras secara lazimnya memerlukan syarikat-syarikat pelupusan perkakasan untuk membakar ataupun menghancurkan komponen-komponen ini, yang secara lazimnya tidak membantu dalam mengurangkan pencemaran dan juga isu pembuangan sampah.

Terkini, sebuah syarikat pelupusan data dari Amerika Syarikat, Garner Products telah memperkenalkan peralatan melupuskan cakera keras mereka yang dinamakan DiskMantler yang membantu dalam melupuskan cakera keras ini dalam cara yang lebih mesra alam.

Cara menggunakan DiskMantler ini agak mudah. Pengguna hanya perlu memasukkan cakera keras kedalam bukaan di bahagian hadapan alat ini, dan menetapkan masa yang mahu digunakan untuk merombak komponen tersebut kepada bahagian-bahagian asasnya, yang mana selepas itu ia boleh dikeluarkan, dan beberapa bahagian tertentu seperti magnet nadir bumi dan papan litar boleh digunakan semula untuk peralatan elektronik yang lain.

Apa yang lebih menarik ialah masa yang diperlukan untuk merombak cakera-cakera keras ini. Pengguna hanya memerlukan 60-120 saat, bergantung kepada saiz cakera keras tersebut untuk “menyahpasangkan” komponen ini, dimana selepas itu, bahagian cakera boleh melalui proses “degaussing” untuk memadamkan data yang terkandung didalamnya.

Setakat ini, ia tidak diketahui lagi apakah tanda harga untuk peralatan DiskMantler ini, dan samada Garner Products akan menjualnya secara besar-besaran.

  • Tom’s Hardware
Komen