Carian
WD Ultrastar Transporter Ialah Beg Bimbit Dengan Mesin Pelayan Dan Storan 368TB Terbina
April 15, 2024 Nazrin

Beberapa tahun lalu, terdapat sebuah ujikaji dijalankan dimana seekor burung merpati digunakan untuk menghantar sebuah storan kecil ke satu lokasi yang lain dan untuk melihat samada sambungan internet sedia ada cukup pantas untuk menghantar fail dengan saiz storan yang sama ataupun tidak.

Untuk mana-mana syarikat yang perlu menghantar jumlah data gergasi dari satu lokasi ke lokasi yang lain secara cepat, dan dimana mereka merasakan sambungan internet tidak cukup selamat, Western Digital baru-baru ini telah memperkenalkan produk storan terbaru mereka, iaitu WD Ultrastar Transporter.

Produk ini ialah sebuah mesin pelayan 1U yang boleh dimuatkan dalam sebuah beg bimbit yang boleh dibawa kemana-mana, walaupun didalam sebuah kapal terbang bersama anda. Dari segi komponen, mesin pelayan iini menggunakan CPU Intel Ice Lake, memori RDIMM DDR4 sebanyak 128GB dan juga storan 2TB yang digunakan untuk sistem operasi mesin pelayan ini.

Mesin pelayan ini tampil dengan tujuh slot PCIe Gen4, dimana empat daripadanya terdiri daripada slot x16 dan tiga lagi ialah slot x8. Kesemua slot ini dilihat boleh disambungkan kepada sejumlah besar storan flash (SSD) yang berjumlah 368TB.

Untuk mengakses storan ini, mesin pelayan ini juga tampil dengan dua palam ethernet yang menyokong kelajuan 200GB/s yang membolehkan mesin pelayan ini disambungkan ke rangkaian pusat data dengan mudah.

Dalam pada itu, beg bimbit untuk mesin pelayan ini dilihat diperbuat daripada rangka plastik keras dan mempunyai sokongan yang diperbuat daripada logam, dan span di bahagian dalam untuk menyerap sebarang gegaran ataupun hentakan daripada merosakkan komponen-komponen didalam mesin pelayan ini.

Setakat ini pihak Western Digital masih belum mengumumkan bilakah WD Ultrastar Transporter ini akan dilancarkan, bersama-sama dengan harganya.

Komen