Carian
Kemaskini Untuk Rekaan Aplikasi Sonos Tertiris
April 15, 2024 Nazrin

Sonos dijangka akan memperkenalkan sejumlah produk-produk baru pada tahun ini, termasuklah sebuah fon kepala nirwayar pertama mereka. Bersempena dengan pengumuman tersebut, syarikat tersebut juga nampaknya akan mengemaskini rekaan aplikasi tersebut tidak lama lagi.

Menurut beberapa laporan daripada laman-laman web teknologi, Sonos dijangka akan memperkenalkan kemaskini kepada aplikasi Apple dan Android mereka pada 7 Mei ini, yang akan merangkumi rekaan dan juga ciri-ciri tambahan kepada aplikasi tersebut.

Perubahan paling ketara yang dapat diperlihatkan dengan kemaskini ini ialah semua perkhidmatan penstriman audio yang anda gunakan boleh diakses di laman utama. Ia juga akan tampil dengan bar carian di bahagian bawah, dan pengawal muziknya akan hadir dengan peluncur kelantangan audio.

Satu ciri baharu yang nampaknya akan diperkenalkan pada aplikasi ini juga ialah kebolehan pengguna untuk menyusun laman utama aplikasi ini. Ini nampaknya dilakukan untuk membolehkan pengguna lebih selesa menggunakan aplikasi tersebut, dan tidak perlu tercari-cari fungsi-fungsi yang lebih banyak digunakan.

Ia dijangka bahawa kemaskini aplikasi ini akan diperkenalkan selari bersama-sama pelancaran fon kepala Sonos tidak lama lagi. Tidak banyak butiran yang diketahui mengenainya setakat ini, tetapi dijangka akan hadir dengan integrasi bersama produk-produk Sonos yang lain.

Komen