Monsta merupakan salah satu syarikat animasi popular tempatan dengan siri animasi seperti Boboiboy dan Mechamato. Ia bukan sahaja popular di kaca televisyen, tetapi juga melalui saluran YouTube, yang mempunyai sekitar 13.5 juta pelanggan.
Namun, hari ini perkara mendukacitakan berlaku apabila saluran berkenaan digodam pihak tidak bertanggungjawab, dan ditukar nama kepada MicroStrategy US. Ini sekaligus turut membuatkan kandungan-kandungan Monsta sebelum ini sukar diakses.
Untuk makluman, sebelum ini sejumlah saluran YouTube telah menjadi mangsa godaman dan diubah menjadi saluran mempromosikan kriptowang. Dan perkara ini secara tidak langsung melanggar terma YouTube, dan akan membawa kepada saluran berkenaan digantung.
Kebiasaannya, sesuatu saluran akan didapati kembali oleh pemilik asal selepas melalui semakan pihak YouTube, tetapi ia mungkin mengambil masa beberapa hari. Sama-sama kita berharap agar Monsta mendapat kembali saluran berkenaan secepat mungkin.