ASUS ProArt ialah jenama yang dibangunkan oleh ASUS khusus untuk kreatif profesional yang memerlukan kelengkapan komputer yang lebih cenderung kepada industri seni dan kreatif.

Selain daripada komputer desktop dan komputer riba berjenama ProArt, ASUS juga memperlihatkan paparan skrin dengan jenama tersebut. Terkini, mereka telah memperkenalkan paparan skrin ASUS ProArt PA32KCX.
Paparan skrin ini menggunakan panel MiniLED bersaiz 32 inci dan mempunyai resolusi 8K (7680 x 4320), mempunyai sokongan untuk ruang warna 10-bit dan mampu mengolah 97 peratus gamut warna DCI-P3 dan hadir dengan nilai kecerahan 1200 nit.

Oleh kerana nilai kecerahannya yang tinggi, ASUS ProArt PA32KCX ini juga dilihat menyokong pelbagai jenis teknologi paparan seperti HDR10 dan HLG (Hybrid Log Gamma) yang bukan sahaja membantu penyunting video untuk menyunting video dalam warna yang jitu, tetapi juga membolehkan mereka untuk menyemak kandungan HDR pada paparan-paparan yang lain.
Paparan ini juga tampil dengan sokongan sambungan seperti HDMI 2.1, DisplayPort 2.1 dan dua palam Thunderbolt 4 yang menyokong pengecasan sehingga 96W untuk membolehkan komputer riba disambungkan kepada paparan skrin ini menggunakan satu kabel USB Type-C sahaja.

Buat masa ini ASUS masih belum mengumumkan tanda harga dan juga tarikh jualan untuk paparan ini, dan kami jangkakan bahawa ia akan diperkenalkan lebih lanjut sewaktu acara COMPUTEX Taipei kelak.