Sejak enam bulan kebelakangan ini berlaku letusan kandungan podsiar dan juga penstriman langsung di pelbagai platform. Saya akan berbohong kepada anda sekiranya mengatakan tidak mempunyai minat untuk melancarkan saluran podsiar sendiri. Yang menjadi halangan ialah kekangan masa, topik unik yang belum dibincangkan orang lain dan kelengkapan yang akan memastikan audio yang baik.

Secara peribadi saya merasakan untuk sesebuah podsiar itu berjaya ia perlu mempunyai kombinasi hos yang menarik, kandungan yang relevan dan audio yang mantap. SteelSeries Alias Pro ialah sistem mikrofon yang direka khusus untuk penstriman langsung dan rakaman podsiar tahap profesional. Ini ulasan penuh saya untuk set mikrofon dan dek penstriman semua dalam satu.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Alias Pro ialah set mikrofon dari jenis XLR yang hadir dengan mixer yang boleh disambungkan kepada dua komputer secara serentak. Ini menjadikannya pilihan kepada penghasil kandungan yang menggunakan dua PC untuk melakukan penstriman dimana satu khusus untuk menjalan permainan video sementara satu lagi mengawal penstriman langsung yang dilakukan. Pendek kata, Alias Pro ingin menjadi peralatan penstriman setempat profesional
Mikrofon Alias Pro adalah dari jenis kondenser cardioid XLR dengan kapsul sebesar 25mm. Ia mengambil sampel audio 24-bit dengan kadar bit 48kHz, frekuensi tindak balas 50Hz – 20kHz, dan SPL maksimum 120dB.

Kerana ia menghala ke arah profesional, mikrofon yang digunakan tidak mempunyai elemen gaming melampau. Tiada logo dengan warna fluorescent atau sistem lampu LED yang membuatkannya seperti sebuah kelab malam yang tidak mesra pesakit epilepsi. Tubuh diperbuat daripada bahan plastik keras yang terasa tebal dan bahagian hadapan pula mempunyai pelapik fabrik berwarna hitam.
Memang nampak profesional dan premium. Sebelum ini saya hanya mempunyai mikrofon Blue Yeti dengan kekisi besi makan saya kurang yakin bahagian pelapik fabrik yang digunakan di sini akan tahan debu untuk tempoh masa yang lama.

Mikrofon diletakkan dalam pemegang dari jenis buaian dengan getah pengikat seakan tali bungee. Dengan konfigurasi ini mikrofon akan terapung maka tidak akan mengalami isu terganggu oleh getaran dari permukaan meja atau mic boom yang digunakan.
Secara lalai mikrofon terpasang pada tapak logam yang berat. Mikrofon terasa stabil dan tidak mudah bergerak apabila dipasang pada tapak ini. SteelSeries memberikan satu penyesuai untuk di dipasang pada mic boom yang kerap digunakan oleh penstrim dan juga penghasil podsiar.

Satu kepala kabel XLR dipasang pada bahagian belakang mikrofon dan satu lagi dipasang pada tubuh mixer. Mixer berbentuk empat segi yang mempunai input XLR, dua input USB-C, satu bicu audio 3.5mm untuk fon kepala, satu bicu audio 3.5mm untuk output dan satu input kuasa.
Terdapat dua tombol di bahagian atas. Tombol kiri untuk mengawal gain dan satu lagi tombol lebih besar untuk mengawal audio kekuatan fon kepala. Terdapat lampu pada tombol gain dengan ia berkelip mengikut percakapan saya ketika digunakan.

Di bawah dua tombol ini diletakkan pula butang membisukan mikrofon dan fon kepala. Ia akan menyala dengan lampu LED apabila diaktifkan. Menerusi perisian SteelSeries GG yang akan saya sentuh nanti, warna lampu ini boleh diubah oleh pengguna. Akhir sekali di bahagian bawah terdapat satu palang lampu LED yang sekali lagi boleh diubah warna dan pergerakannya menerusi perisian yang diberikan.
Rekaan dan kemasan pada Alias Pro terasa premium, tahan lasak dan serasi dengan harga jualannya yang mahal.
PENGGUNAAN
Penggunaan adalah cukup mudah. Sambungkan kabel dari PC ke input di belakang mixer. Muat turun aplikasi SteelSeries GG dan semua yang diperlukan akan dipasang secara automatik dalam masa beberapa minit. Kali pertama aplikasi dibuka, saya hanya perlu menetapkan apakah mikrofon yang digunakan sahaja menerusi menu yang diberikan. Antaramuka aplikasi SteelSeries Sonar di dalam GG mudah difahami kerana pengguna ikonografi yang tidak mengelirukan.

Terdapat banyak pilihan yang diberikan bagi memastikan penstriman yang ingin dilakukan dapat dikawal dengan mudah. Terdapat tetapan untuk mikrofon, chat, sumber audio 1, sumber audio 2 dan juga satu lagi Master yang mengawal kesemuanya.

Seterusnya dalam Sonar, saya boleh memilih profil suara untuk rakaman audio dengan pilihan seperti Deepvoice, Walkie Talkie dan Broadcast. Saya paling gemar menggunakan Deepvoice yang membuatkan suara saya kedengaran lebih menyerlahkan kejantanan. Jika semua tetapan ini masih tidak memadai, pengguna boleh mengubahkan sendiri mengikut kehendak hati.

Tetapan mikrofon yang lebih terperinci juga diubah menggunakan sonar. Dengan Clearcast AI misalnya, bunyi bising sekeliling ditapis secara automatik. Sekali lagi jika ini masih tidak memadai, pengguna boleh mengubah tetapan noise gate sendiri mengikut tahap kelantangan audio yang dirasakan sesuai.
Tetapan audio permainan video juga banyak yang terbina seperti Assassin’s Creed Mirage dan COD : Warzone. Pendek kata dari segi tetapan audio, Alias Pro memberikan pilihan yang sangat lengkap.

Tetapan akhir yang boleh diubah ialah dua lampu pada butang membisukan fon kepala dan mikrofon serta lampu panjang di permukaan bawah mixer. Semua warna di bawah spektrum RGB boleh dipilih. Untuk lampu bawah saya juga boleh mengubah untuk lampu berkelip mengikut input audio dan juga ia mengikut beberapa pratetapan yang diberikan oleh SteelSeries.

KUALITI AUDIO
Kualiti audio adalah sangat baik. Harus saya katakan di sini saya hanya mempunyai pengalaman menggunakan mikrofon Blue Yeti, DJI Mic dan Lavelier untuk rakaman audio latar ketika melakukan tugasan luar. Dapat didengari perbezaan dari segi kejelasan audio berbanding rakaman menggunakan mikrofon yang biasa saya gunakan sebelum ini.

Perisian Sonar memang membantu menghasilkan audio yang pada telinga saya mempunyai ciri podsiar. Saya akui saya sebenarnya tidak begitu gemar mendengar suara sendiri kerana dirasakan aneh. Tetapi selepas menggunakan penuras Deepvoice dalam sonar, saya rasa suara saya boleh tahan juga. Mungkin masih belum terlambat untuk berubah kerjaya menjadi DJ radio.
Dengan ClearCast AI, rakaman audio yang tidak tercemar dengan bunyi bising sekeliling boleh dilakukan. Ini adalah perlu bagi mereka yang mahu menstrim dengan kipas dan pendingin hawa dihidupkan. Tak perlu berpeluh-peluh lagi untuk rakaman audio yang melepasi piawaian penyiaran.

Adunan bunyi ketika menstrim secara langsung juga adalah amat baik. Kemampuan mengubah tahap audio dari setiap input adalah cukup membantu. Jika audio suara kurang bagus, ia dengan pantas boleh dibetulkan menerusi dua tombol fizikal yang diberikan.
Bagi seorang insan yang bukanlah pakar dalam bidang audio, penstriman langsung dan podsiar saya rasakan sistem Alias Pro sangatlah mudah digunakan. Tiada learning curve yang mencabar dibantu oleh perisian yang kalis insan dungu seperti saya. Kerana proses menggunakan Alias Pro ini sangatlah mudah, ia membuatkan saya tergerak untuk akhirnya merealisasikan impian untuk menghasilkan podsiar peribadi. Nantikan kemunculannya dalam masa terdekat pembaca sekalian.
DALAM KOTAK
Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.
- 1x Mikrofon SteelSeries Alias Pro.
- 1x Tapak pemegang.
- 1x Mixer.
- 1x Kabel XLR
- 2x Kabel USB-C ke USB-A
- 1x Kabel kuasa.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Apa yang anda dapat dengan SteelSeries Alias Pro yang dijual pada harga RM1799 sebuah? Anda mendapat sistem mikrofon untuk penstriman dengan audio yang profesional lengkap dengan mixer terbina yang memudahkan input daripada dua komputer digunakan serentak. Audio yang sangat mantap disokong pula oleh perisian SteelSeries Sonar yang amatlah mudah digunakan dengan pelbagai ciri terbina yang benar-benar berguna.

Tetapi harus dinyatakan semua ini hanya dapat dinikmati pada platform PC. Harganya juga adalah kurang mampu milik. Tetapi hakikatnya untuk mendapatkan kualiti audio yang agung, wang harus dikorbankan oleh anda.
Pro
- Sistem mikrofon XLR dan mixer semua dalam satu untuk penstriman.
- Kualiti audio yang sangat mantap.
- Perisian yang mempunyai pelbagai tetapan terbina berguna.
- Mudah digunakan.
Kontra
- Harga kurang mampu milik.
- Hanya menyokong PC.
- Mixer hanya menyokong satu mikrofon XLR.
