Carian
Sarawak Mahu Menjadi Hab Pembangunan Teknologi Semikonduktor Baru Malaysia
April 16, 2024 Nazrin

Malaysia kini dikenali sebagai salah satu hab pembangunan teknologi semikonduktor yang penting di dunia selepas Taiwan, Amerika Syarikat dan beberapa lokasi lain, khususnya apabila kita dilihat sebagai lokasi terbaik untuk tujuan rekaan dan juga pempakejan cip semikonduktor.

Pulau Pinang, Melaka dan Kedah merupakan diantara lokasi penting untuk industri ini dengan Intel, Micron dan Infineon diantara syarikat-syarikat terkemuka yang bertapak di Malaysia untuk sekian lamanya. Sebuah syarikat rekaan cip semikonduktor tempatan, iaitu Sarawak Microelectronics Design ataupun SMD dilihat mahu menjadikan Sarawak sebagai sebuah lagi hab pembangunan teknologi ini.

Syarikat ini dimiliki oleh kerajaan Sarawak dan dibangunkan pada tahun lepas, dan mempunyai cita-cita untuk menjadi pereka cip semikonduktor untuk sejumlah syarikat-syarikat teknologi global. Sarawak mungkin lebih dikenali untuk sumber semulajadi seperti kayu balak, petroleum dan hidrogen, tetapi kini dilihat mahu membangunkan industri-industri yang lebih lestari.

Setakat ini, ia telah dilaporkan bahawa SMD sudahpun menandatangani perjanjian untuk kerjasama strategik dengan beberapa syarikat dari UK, seperti Riverbeck dan Big Innovation Centre. Kerjasama bersama Riverbeck akan memperlihatkan SMD membantu untuk membangunkan cip frekuensi radio yang akan dimanfaatkan industri aeroangkasa dan akan digunakan oleh syarikat-syarikat seperti British Aerospace dan juga Turkish Aerospace Malaysia.

Kerjasama bersama Big Innovation Centre pula akan memperlihatkan SMD membangunkan teknologi yang membolehkan cip semikonduktor untuk dikilangkan dengan lebih bersih dan lestari di Sarawak. Negeri tersebut merupakan salah satu negeri yang dilihat sedang membangunkan infrastruktur gas hidrogen sebagai salah satu bentuk bahan api yang lebih mesra alam, jadi ia tidak begitu mengejutkan untuk melihat SMD memacu pembangunan teknologi sebegini.

Pembangunan industri teknologi semikonduktor di Sarawak bukanlah sesuatu yang baru. Di Kuching, pusat perindustrian Sama Jaya telah merumahkan sejumlah syarikat-syarikat teknologi luar negara yang membangunkan kilang dan pusat penyelidikan cip semikonduktor seperti X-Fab Silicon Foundries dan Taiyo Yuden untuk sekian lamanya.

Kedua-dua syarikat ini dilihat membuka subsidiari di Kuching pada awal 2000, dan kini dilihat akan kekal beroperasi di Sama Jaya dan X-Fab dilihat akan melaburkan sebanyak 100 juta Euro untuk meningkatkan pengeluaran wafer semikonduktor dari 30,000 ke 50,000 sebulan menjelang 2030.

Sebuah lagi syarikat yang akan bekerjasama dengan SMD ialah Melexis dari Belgium untuk menambahkan kapasiti perkhidmatan rekaan cip semikonduktor dan akan melaburkan sebanyak 70 juta Euro sepanjang lima tahun bermula dari tahun lepas.

Jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk melihat bahawa Malaysia sahaja terlibat dalam 7 peratus perdagangan industri semikonduktor secara global, dan ia adalah salah satu industri yang diberikan penekanan di negara ini, dan jika semua berjalan dengan lancar, Kuching akan menjadi sebuah lagi kawasan Silicon Valley Malaysia.

Komen