Carian
Astro Studios Dilancarkan – Akan Meneroka AI Generatif Dan Membikin Kandungan XR Dengan Unreal Engine
April 16, 2024 Fahim Zahar

Astro Holdings Berhad hari ini telah mengumumkan yang Astro Studios Sdn. Bhd atau ASSB kini dilancarkan semula sebagai Astro Studios. Penjenamaan semula ini akan membentuk satu entiti yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan pembikinan filem, suntingan, penyiaran dan banyak lagi yang akan terbuka kepada para pencerita, pengarah dan penerbit.

Menariknya, Astro Studios bukan sekadar studio produksi biasa tetapi turut menawarkan kemampuan produksi maya Extended Reality (XR) atau realiti diperluas yang menggunakan teknologi Unreal Engine. Bukan itu sahaja, Astro Studios turut boleh mengendalikan projek penyelesaian hak cipta video untuk penyiaran dari jarak jauh, pasca produksi audio dan visual serta keperlua pawagam dan penstriman yang memerlukan formar Dolby Vision dan Dolby Atmos.

Dengan kata lain, Astro Studios adalah pusat sehenti untuk para pencipta kandungan tempatan dan antarabangsa menikmati apa yang pasukan dalaman Astro selama ini lakukan. Astro Studios dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu Astro Studios Productions untuk produksi dan penyiaran jarak jauh, rakaman filem lengkap dengan set studio fizikal atau set maya seperti yang telah digunakan untuk 3300 jam kandungan, ratusan perlawanan sukan dan berpuluh projek dengan studio antarabangsa.

Kemudian adalah Astro Design+Motion untuk rekaan grafik, animasi, pembikinan kandungan realiti diperluas XR dengan Unreal Engine dan lain-lain. Antara yang mereka telah lakukan adalah 25 set siaran langsung XR, 4800 saat kandungan janaan komputer dan mengendalikan 6 perlawanan e-sukan termasuk Mobile Legend.

Astro Sound+Vision pula untuk pasca produksi seperti output video 4K/HDR, penggredan warna, perkhidmatan penuh makmal digital, reka bunyi, rakaman di studio, restorasi filem dan banyak lagi. Antara yang telah berjaya mereka lakukan adalah pasca-produksi filem dengan Dolby Vision/Dolby Atmos, 850 jam alih suara, memulihkan 21 filem 35mm dan sejak 2022 sebanyak 19 filem tempatan telah berjaya dihasilkan.

Dengan adanya Astro Studios, Astro Holdings berharap industri perfileman Malaysia akan lebih maju dan terus maju ke tahap yang lebih tinggi. Mereka juga sedang menerokai teknologi pembangunan filem dengan VFX bertaraf antarabangsa dan juga set penggambaran XR dengan skrin LED Volume atau Stagecraft seperti yang digunakan oleh Disney. Astro Studios turut akan cuba mengintegrasikan AI generatif ke dalam kerja-kerja produksi mereka tetapi akan berhati-hati untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada AI kerana masih mahukan sentuhan kreativiti manusia. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut teknologi yang digunakan oleh Astro Studios.

Komen