Carian
Insta360 X4 Dilancarkan Dengan Rakaman 8K- Harga RM2499
April 17, 2024 Effi Saharudin

Semalam kamera aksi Insta360 X4 dilancarkan sebagai produk pertama keluaran mereka yang boleh melakukan rakaman pada tetapan 8K 30FPS. Seperti model terdahulu, kamera ini masih boleh melakukan rakaman 360 darjah dengan tubuh yang bersaiz kompak.

Selain rakaman 8K, X4 juga boleh melakukan rakaman 5.7K 60p dan 4K 100p. Untuk rakaman gambar pula terdapat pilihan pada mod 72MP dan 18MP. Penambahbaikan juga dilakukan pada bateri yang kini sebesar 2290 mAh yang mampu menawarkan tempoh rakaman sehingga 135 minit yang jauh lebih lama berbanding hanya 81 minit pada model X3.

X4 juga kini mempunyai sistem pelindung lensa kamera yang boleh ditanggalkan. Dengan adanya pelindung ini, pemilik tidak lagi perlu risau lesan tercalar, retak atau pecah semasa melalukan aktiviti lasak. Kamera boleh dibawa menyelam sehingga kedalaman 10 meter sama seperti model lalu. Sebuah skrin sesentuh 2.5″ LCD diletakkan pada sisi tubuh untuk melihat semula rakaman dan juga mengubah tetapan X4.

Perisian X4 membolehkan rakaman 360 darjah, mod Me Mode yang merakam hanya diri pengguna, mengunci kedudukan ufuk dan juga penstabilan terbina yang memastikan video tidak bergegar ketika dirakam. Di Malaysia Insta360 X4 dijual pada harga RM2499 tetapi jualan belum lagi dibuka.

Komen